Syamel dan Ernie Zakri pula bakal menggegar dengan konsert

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Pasangan penyanyi suami isteri, Syamel dan Ernie Zakri teruja apabila bakal mengadakan konsert sulung mereka iaitu Konsert Syamel Dan Ernie Zakri : Aku Cinta di Zepp Kuala Lumpur pada 23 Oktober depan.

Syamel berkata, walaupun mereka gementar menantikan konsert yang berbaki kurang tiga bulan lagi, namun ia bakal menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan diri dan berkongsi detik indah pertemuan mereka dengan penonton.

“Kami sudah lama menyimpan hasrat untuk mengadakan konsert, namun impian itu tertangguh berikutan penularan Covid-19. Bagaimanapun, tahun ini adalah waktu yang tepat untuk kami mengadakan konsert solo yang pertama selain mendapat lokasi yang menarik.

“Sebanyak 23 buah lagu bakal kami persembahkan secara solo dan duet serta beberapa lagu nyanyian semula daripada penyanyi terkenal yang diberi nafas baharu. Kami sudah pun mengadakan perbincangan dengan pengarah muzik, Aubrey Suwito mengenai susunan lagu dan perjalanan konsert.

“Terdapat banyak kelainan dan kejutan bakal kami tampilkan. Antaranya konsert ini bakal menceritakan perjalanan kisah cinta saya dan Ernie,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Syamel Dan Ernie Zakri: Aku Cinta di Astro, Bukit Jalil, semalam.

Sementara itu, Ernie berkata, dia ada berjumpa dengan bapa saudaranya yang juga penyanyi terkenal, Anuar Zain bagi berkongsi pandangan dan pengalamannya mengadakan konsert berskala besar.

“Kami memang selalu ajak beliau keluar lepak bersama bagi ‘mencuri’ tips. Lagipun abang Anuar adalah artis konsert dan dia sangat berpengalaman dalam dunia ini. Saya siap bawa buku dan menyalin pesanan yang dia berikan.

“Kami juga ambil peluang menghadiri beberapa konsert yang diadakan tahun ini bagi mencari inspirasi, berhibur dan buat ‘homework’ sebab ini kali pertama kami adakan konsert. Kami masih tak dapat nak bayangkan lagi bagaimana nak bersama-sama dengan penonton dan macam mana nak pastikan konsert ini berjalan dengan lancar dan tersusun. Semua ini perlu dibuat dengan teliti dan perkara yang mengajar kami adalah dengan menonton konsert,” katanya.

Ditanya mengenai harga tiket yang dijual bermula RM500, Syamel berkata, penentuan harga tiket dibuat oleh syarikat pengurusan mereka sepenuhnya.

“Kami meletakkan 100 peratus kepercayaan kepada Rocketfuel Entertainment dalam menentukan harga tiket. Kami percaya pembahagian harga yang ditetapkan sudah dibuat dengan teliti dan berbaloi dengan persembahan yang bakal kami berikan.

“Jika ramai yang mengatakan harganya murah, ini adalah berita yang positif dan kami berharap lebih ramai dapat hadir menonton konsert kami ini. Lagipun pengikut kami di media sosial pun ada yang masih remaja jadi sekurang-kurangnya mereka mampu untuk mendapatkan tiket ini,” katanya.

Tiket yang bakal mula dijual pada 15 Ogos ini berharga RM500 (Diamond), RM400 (Platinum), RM300 (Gold), RM250 (Silver) dan RM200 (Bronze).

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat