KUALA LUMPUR – Umno memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani tahanan rumah.
Hal ini susulan Jabatan Peguam Negara (AGC) memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa titah addendum yang menjadi perkara yang dipertikaikan dalam semakan kehakiman Najib diakui kewujudannya.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, pihaknya bersetuju titah itu wujud namun mempertikaikan cara atau pendekatan bukti baharu itu dikemukakan di mahkamah.
Kata Asyraf, Umno mengucapkan syukur kepada Allah dengan pengesahan kewujudan titah addendum oleh Peguam Negara kelmarin, sekali gus memperakui titah bagi penahanan rumah Najib.
“Umno merafak sembah memohon ampun dan ihsan kepada Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong agar titah tahanan rumah tersebut dapat dilaksanakan selaras dengan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Semoga dengan limpah kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan membolehkan Najib mendapat keringanan hukuman yang telah tertunda lebih setahun lalu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Titah adendum berkenaan dikatakan diperkenan YDPA ke-16 yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.