KUALA LUMPUR – Tidak timbul soal kuasa Tan Sri Muhyiddin Yassin dicairkan dengan tertubuhnya Majlis Presiden dalam Perikatan Nasional (PN),” tegas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Beliau menyanggah pandangan Felo Majlis Profesor Negara Prof Azmi Hassan yang menyatakan penubuhan Majlis Presiden PN dicadangkan Pas adalah strategi tersirat bagi mengurangkan pengaruh Pengerusi PN Muhyiddin.
Penganalisis itu berpendapat cadangan berkenaan terbit susulan rasa tidak puas hati Pas terhadap struktur kuasa sedia ada dalam PN kerana parti itu memiliki jumlah kerusi Parlimen terbanyak berbanding Bersatu.
Sebaliknya Tun Faisal memberitahu, fungsi Majlis Presiden baik dalam Pakatan Harapan (PH) mahupun PN adalah sebagai platform rasmi ketua-ketua parti gabungan membincangkan dan menyelesaikan isu-isu dasar serta hal-hal yang tidak dapat diputuskan dalam Majlis Kerja Tertinggi badan gabungan parti-parti.
“Ia juga menjadi ruang penyelarasan dan konsensus untuk perkara-perkara berkepentingan bersama, sekaligus mengukuhkan kerjasama dalam gabungan.
“Penubuhan Majlis Presiden PN telah pun dipersetujui oleh Majlis Kerja Tertinggi PN dan hanya menunggu masa untuk dimuktamadkan. Tidak timbul soal ‘kuasa dicairkan’ kerana setiap Presiden parti kekal sebagai pemegang kuasa eksekutif dalam parti masing-masing sama seperti dalam PH.
“Penubuhan Majlis Presiden bukanlah sesuatu yang baharu. Ia telah lama wujud dalam Pakatan Harapan (PH). Kenapa ketika itu tidak pula disebut sebagai strategi licik DAP dan Amanah untuk ‘mencairkan’ kuasa Datuk Seri Anwar Ibrahim? Jika diteliti struktur PH, PKR memegang hampir semua jawatan penting Presiden, Pengerusi, Ketua Setiausaha, Pengarah Pilihan Raya dan Pengarah Komunikasi walhal DAP secara realiti merupakan parti paling dominan (tidak termasuk proksi-proksinya),” tegas beliau.
Jelas Tun Faisal lagi, Majlis Presiden dalam PN juga bukanlah satu perkara baharu, ia telah dicadangkan oleh Muhyiddin dan dipersetujui oleh semua ketua parti dalam kerajaan PN sejak tahun 2020.
Bahkan katanya, dalam mesyuarat yang sama, penubuhan Sekretariat Setiausaha Agung parti-parti juga telah disepakati. Kenapa ketika itu tidak timbul isu ‘mencairkan kuasa’?
“Perlu diingatkan bahawa Pengerusi PN dan Presiden Pengasas Bersatu Muhyiddin sememangnya dikenali sebagai seorang yang inklusif dalam pendekatannya malah inklusif adalah salah satu daripada lima idealisme teras Bersatu.
“Jadi inklusiviti dalam pendekatan PN dan Bersatu bukan sesuatu yang luar biasa,” ujarnya.
Tun Faisal mengkritik lenyataan yang dikeluarkan oleh Felo Majlis Profesor Negara merangkap Ahli Geostrategi UniKL, Profesor Azmi Hassan, dan pensyarah UMS, Profesor Madya Syahruddin Awang Ahmad, merupakan antara analisis paling menggelikan hati.
“Sukar difahami bagaimana mereka boleh dikategorikan sebagai penganalisis dan profesor jika ulasan sebegitu cetek dikeluarkan.
“Sekurang-kurangnya, lakukanlah penyelidikan asas sebelum membuat kenyataan kepada media. Kenyataan tanpa asas sebegini hanya mencalarkan imej gelaran akademik dan institusi masing-masing.
“Pihak media perlu menghentikan naratif palsu yang kononnya wujud perpecahan dalam PN naratif yang lazimnya muncul setiap kali Anwar, PH atau kerajaan menghadapi krisis, kritikan atau tekanan daripada rakyat.
“Selain itu, media juga perlu lebih bertanggungjawab dalam memilih narasumber. Pandangan harus diperoleh daripada pakar sebenar yang mempunyai akses kepada fakta dan maklumat, bukan daripada ‘palatao’ atau ‘kangkung’ politik. Walaupun begitu, kali ini sedikit peningkatan dapat dilihat sekurang-kurangnya media tidak lagi memetik ‘sumber dalaman palsu’ yang tidak berani menamakan diri mereka,” tegur beliau.
Semalam, Pas mendedahkan cadangannya supaya PN mewujudkan majlis presiden dianggotai semua ketua parti dalam gabungan itu bagi menambah baik dan memperkasa struktur pentadbiran.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Khairil Nizam Khirudin, berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada pucuk pimpinan sekutunya iaitu Bersatu.



