Oleh: Zihan Zari
KANGAR – Pasukan Askar Wataniah (AW) Politeknik Ungku Omar (PUO) telah melakar nama apabila muncul sebagai juara pertandingan Malaysian Polytechnic Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC) Siri 15/2024 yang telah berlangsung di sin, pada 26 Jun hingga 9 Julai lalu.
MALPTAAC telah menghimpunkan 16 buah politeknik melibatkan seramai 29 pegawai dan 560 anggota Askar Wataniah (AW).
Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah berkata, kejayaan yang diraih ini adalah hasil usaha bersungguh-sungguh yang berterusan serta komitmen yang luar biasa dari setiap anggota AW PUO.
Sokongan yang kukuh dari jurulatih, pihak pengurusan PUO, dan Rejimen 503 AW juga telah memainkan peranan penting dalam pencapaian ini.
Pasukan PUO telah menonjolkan prestasi yang sangat cemerlang sepanjang latihan dan pertandingan, berkat semangat berpasukan yang teguh, strategi yang mantap, dan disiplin yang tinggi.
Katanya, kejayaan ini tidak hanya membanggakan nama institusi, malah meyerlahkan potensi serta kebolehan pelajar. Ini merupakan bukti kukuh terhadap keberkesanan program pembangunan sikap dan sahsiah di PUO.
Melalui latihan yang intensif dan pendedahan kepada pelbagai pertandingan, pelajar telah berhasil mengasah kemahiran mereka dan menunjukkan prestasi yang hebat.
PUO mempunyai komitmen untuk melahirkan graduan yang tidak hanya unggul dalam bidang akademik malah dalam aspek kokurikulum, sejajar dengan visi untuk membangunkan individu yang holistik dan berdaya saing dalam arena tempatan dan global.
“Kejayaan ini semestinya akan menjadi sumber inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang-bidang yang mereka ceburi.
“Pertandingan ini adalah contoh yang terbaik bagaimana kolaborasi strategik bersinergi antara pelbagai pihak dapat menghasilkan kejayaan serta mencapai matlamat bersama yang diimpikan,” katanya lagi kepada SUARA.TV.
Dalam pertandingan ini, PTSS mendapat tempat pertama bagi kategori Pandu Arah, tempat kedua jatuh kepada PUO, dan tempat ketiga pula kepada Politeknik Port Dickson (PPD).
Bagi kategori ‘Multi Relay’ pula, tempat pertama disandang oleh PUO, tempat kedua oleh Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) dan tempat ketiga oleh Politeknik Banting Selangor (PBS).
Bagi kategori menembak pula, tempat pertama disandang oleh Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) ; kedua , POLIMAS dan tempat ketiga pula dimenangi oleh PBS.
Manakala bagi kategori jalan laju, tempat pertama dimenangi oleh PUO;
kedua oleh POLIMAS dan tempat ketiga pula dari Politeknik Mukah (PMU) Sarawak.
Katanya, hadiah berupa Piala Pusingan telah disampaikan oleh Pengarah Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Zamzam Mohd Walid.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh JPPKK memaklumkan Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Komander Rejimen 504 AW telah berkenan berangkat menyaksikan
eksesais MALPTAAC di Ladang Kenaf pada Selasa.
Turut hadir, Menteri Besar Perlis, Brigedier Jeneral (K) Mohd Shukri Ramli merangkap Penaung Jawatankuasa Pendukung AW Perlis; Asisten Panglima Pasukan Simpanan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab; Ketua Polis Perlis, DCP Dato’ Muhammad Abdul Halim dan Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim.
Ketua Pengarah JPPKK, Dr. Hj. Mohd Zahari Ismail berkata, sebanyak 14 buah politeknik telah berjaya menubuhkan pasukan AW dengan kerjasama erat dengan Kementerian Pertahanan (Mindef).
MALPTACC di bawah kelolaan Bahagian Pasukan Simpanan (BPS) Tentera Darat Rejimen 504 AW telah digazetkan di dalam jadual latihan tahunan sejak 1999.
Menurutnya, lebih 6600 orang pelajar telah berjaya menjadi anggotanya melalui 10 siri MALPTAAC yang telah dijadualkan di Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Selangor, Melaka, Pulau Pinang dan Terengganu.
Katanya, MALPTAAC telah memberikan suntikan semangat kepada pelajar politeknik untuk menyumbang tenaga dan khidmat demi keselamatan negara.
“MALPTAAC telah diperkenalkan pada 1999 oleh bekas Pengarah PUO, Mejar Ir. Mohammed Zakaria Mohd Nor sehingga berjaya ke peringkat nasional dengan konsep latihan yang bersesuaian dengan keperluan anggotanya di kalangan pelajar Intitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA),” katanya lagi.
Ujarnya, MALPTAAC merupakan medan latihan yang ditunggu-tunggu oleh warga politeknik yang melibatkan pelbagai aktiviti antaranya ujian jalan laju, menembak, merentas desa dan latihan di medan tempur.
“Ianya dapat memperlihatkan kekuatan ketenteraan di dalam sistem politeknik di samping membantu mencapai matlamat kerajaan memperkukuhkan kekuatan anggota dalam pasukan simpanan,” ujarnya lagi.
Antara pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang turut terlibat bagi menjayakan eksesais ini, Rejimen 504 AW, 6 Skuadran Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Rejimen Ketiga Artileri Diraja (3 RAD) dan Kompeni Alpha 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).- SUARA.TV