KUALA LUMPUR – Permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) bagi tiga tuduhan pengubahan wang haram dana syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM27 juta akan diputuskan pada 20 Jun ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur K. Muniandy menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat di sini hari ini.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara telah menolak representasi yang dihantar bekas Perdana Menteri pada 31 Julai 2023 untuk menggugurkan tiga tuduhan tersebut.
Tambahnya, pihaknya bersedia untuk meneruskan perbicaraan kes itu namun memohon satu tempoh yang panjang bagi membolehkan mereka mengesan dan mendapatkan 807 eksibit yang sebelum ini dikemukakan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International, lapor Utusan pada Rabu.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana itu.