JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri diharap dapat mengadakan kerjasama dwipartisan antara kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang dalam usaha melawan pandemik Covid-19 di negeri ini.
Pakatan Harapan (PH) Johor dalam kenyataannya berkata, ini merupakan langkah yang proaktif dengan penglibatan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) rentas parti.
“PH Johor menyambut baik pengumuman Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berhubung pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0, semalam.
“Pemberian peruntukan khas sebanyak RM7.05 juta kepada semua ADUN dan Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (JPKD) untuk melaksanakan program advokasi vaksinasi dan program kebajikan di kawasan masing-masing merupakan satu bentuk kerjasama dwipartisan yang proaktif,” katanya.
Kenyataan secara bersama itu ditandatangani Pengerusi Parti Amanah Negara Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.
Semalam, Hasni mengumumkan PRE Ihsan Johor 3.0 dengan peruntukan sebanyak RM241 juta yang membabitkan 33 inisiatif bertunjangkan dua fokus utama iaitu pemerkasaan pengurusan pandemik Covid-19 serta pengukuhan bantuan keselamatan sosial.
Menurut kenyataan itu lagi, PH Johor juga menyokong tindakan kerajaan negeri membeli 190,000 kit ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag), menggerakkan penglibatan rangkaian hospital di bawah KPJ Healthcare dan pemberitahuan bantuan secara one-off kepada pihak terjejas akibat pandemik Covid-19 ketika ini.