KUALA PENYU — Yayasan Bank Rakyat (YBR) melalui Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) menawarkan tajaan khas kepada peserta Latihan Asas Keusahawanan dari negeri Sabah dan Sarawak bagi tahun 2024.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata sokongan padu YBR ini mampu membantu usahawan menangani jurang ekonomi serta fokus kepada bidang koperasi.
“Peserta bukan sahaja mendapat latihan kemahiran asas perniagaan, malah berpeluang mendapat pendedahan tentang strategi pemasaran tentang produk mereka”
“program ini merupakan platfom serta sebagai persediaan kepada peserta untuk menghadapi dunia perniagaan serta sebagai tapak di dalam perniagaan bagi mereka yang sudah memulakan perniagaan,” katanya di Dewan Dato’ Syahbandar Makang Kuala Penyu, Sabah sempena Karnival Tekun Madani dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Sempena Pesta Kaamatan.
Beliau turut menyifatkan program yang dijalankan ini sebagai ‘membangunkan golongan usahawan’ terutamanya dari kalangan belia dalam bidang perniagaan serta usahawan sedia ada untuk menambah ilmu.
“Program Latihan Keusahawanan ini juga selari dengan inisiatif YBR dalam menyediakan latihan dan program pembangunan diri untuk meningkatkan kemahiran individu melalui keusahawanan dan perniagaan.
“Bidang keusahawanan merupakan salah satu bidang alternatif dalam membuka peluang kepada anak muda untuk mendapatkan pendapatan yang lebih lumayan serta meningkatkan taraf hidup mereka ke peringkat seterusnya,” katanaya.
Tambah beliau lagi, Sabah dan Sarawak juga merupakan antara negeri yang melahirkan usahawan yang menghasilkan produk tempatan tetapi kurang pendedahan di dalam strategi pemasaran.
“Program ini diharapkan mampu melahirkan usahawan dan bakal usahawan muda untuk menimba pengetahuan serta mempelajari teknik memasarkan produk serta meningkatkan sosioekonomi masyarakat seiring dengan inisiatif YBR dalam mewujudkan peluang kerjaya kepada mayarakat setempat.
Untuk makluman, para peserta program ini hanya dikenakan yuran pendaftaran dengan harga RM50.00 dan program ini mensasarkan penglibatan 1,200 usahawan baru dan juga usahawan sedia ada di negeri-negeri tersebut.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman.