UMNO Semakin Matang Di Sebalik Pelbagai Ujian, Pancaroba – Ahmad Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Genap 76 tahun usia UMNO hari ini menyaksikan parti politik terbesar orang Melayu itu semakin matang dan hebat, penuh pengalaman dan pengetahuan di sebalik pelbagai ujian dan pancaroba yang dihadapi selama ini, kata Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, anasir perpecahan yang cuba disuntik gagal menggoyahkan kemuafakatan dan kesatuan para pendukungnya, sebaliknya, menjadikan ia lebih memahami betapa penting parti keramat agama, bangsa dan negara ini dipertahankan.

“Syukur ke hadrat Ilahi UMNO memasuki usia 76 tahun terus kukuh dalam perjuangannya untuk agama, bangsa dan tanah air.

“UMNO masih kekal dalam semangat dan jati diri parti politik terbesar orang Melayu berpaksi tegap demi rakyat, demi negara,” katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau bersempena ulang tahun UMNO ke-76 hari ini.

Mengimbau kenangan selepas 9 Mei 2018 yang menyaksikan kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ahmad Zahid berkata, masih diingati pada ketika itu dengan UMNO cuba dikhabarkan telah tiada, tidak lagi relevan dan dituduh tiada hala tuju.

“Presiden barunya ditekan agar membubarkan parti, pimpinan dan ahlinya yang setia diasak supaya menyerah berpaling tadah. Alhamdulillah berkat ketentuan Yang Maha Esa bersama kita bertahan, kita menentang dan kita bangkit dengan penuh hikmah serta bijaksana,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, UMNO juga mara tanpa mengheret rakyat ke kancah kekalutan dan huru-hara, malah bergerak seiring menjulang erti sebenar demokrasi.

“Insya-Allah selagi ada kudrat dan upaya izin Allah S.W.T, Presiden UMNO akan memastikan kebangkitan ini tidak sesekali terpadam,” katanya.

Beliau berkata, UMNO juga akan terus mara walau apa rintangan serta halangan demi mengangkat kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat