Oleh Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff
Hari ini Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin telah menyelar kenyataan Pengerusi DAP Johor, YB Datuk Liew Chin Tong yang mengatakan bahawa UMNO perlu menerima hakikat bahawa tidak perlu parti teras di dalam sesuatu koalisi politik.
Isu ini timbul apabila Liew yang mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang menyatakan amalan demokrasi di Malaysia memerlukan sebuah parti teras (“abang besar”) yang akan membolehkan kerajaan ditadbir dengan stabil.
Zuraida yang merupakan seorang yang sangat berpengalaman dalam politik Malaysia turut mendedahkan sikap DAP yang sebelum ini cuba menjadi “abang besar” kepada rakyat Malaysia yang berbangsa Tiong Hwa.
Sikap pemimpin DAP yang hipokrit ini harus didedahkan agar rakyat tidak lagi tertipu dengan iltizam kononnya parti yang dipimpin secara majoriti oleh pemimpin berbangsa Tiong Hwa itu adalah bersifat nasionalis ataupun muhibbah.
Pasca PRU-14 yang lepas, kita sendiri telah melihat bagaimana DAP, yang menjadi sebahagian daripada parti pemerintah telah melaksanakan pelbagai dasar dan polisi yang lebih memberikan manfaat kepada kaum Cina sahaja, khususnya dalam hal-hal berkaitan pendidikan.
Jadi bagaimana DAP yang sering memekik tentang “Malaysian Malaysia” ingin mengajar UMNO untuk tidak menjadi dominan bagi orang Melayu, apabila mereka sendiri cuba menanam pangaruh mereka kepada rakyat Malaysia yang berbangsa Cina.
Pada usia penubuhannya yang ke 75 tahun, UMNO sememangnya sebuah parti yang berteraskan perjuangan Melayu/Islam.
Tidak seperti DAP yang sering beretorik dan cuba menyembunyikan ruh chauvinist mereka disebalik slogan-slogan nasionalis, UMNO sememangnya secara terbuka meletakkan perjuangan agama, bangsa dan negara sebagai matlamat parti tersebut.
Melihat perkara ini, kita sedar bahawa jajaran baharu antara BN dan PH tidak akan tercapai selagi mana DAP terus mengamalkan sikap hipokrit mereka.
Walauapapun tindakan UMNO selepas ini, kepimpinan UMNO perlu mengambil kira dan menilai dengan baik siapakah yang perlu diangkat untuk dijadikan rakan politik mereka.
Kita telah melihat bagaimana DAP menjadi sebahagian dari parti yang memerintah selama 22 bulan. Pada hemat penulis, sekiranya kuasa itu diberikan sekali lagi dengan persepakatan daripada UMNO, ia adalah langkah yang amat salah dan tidak wajar berlaku.
UMNO mempunyai kekuatan dan daya tarikannya yang tersendiri. Lihat sahaja deretan Pilihanraya Kecil yang dimenangi oleh UMNO/BN sebelum ini, siapa boleh nafikan kekuatan UMNO sebagai sebuah institusi politik utama di Malaysia.
Sekalipun tidak bersama Perikatan Nasional atau Muafakat Nasional, UMNO harus terus berdiri megah dan berupaya secara mandiri.
Pada ketika ini kerjasama daripada UMNO diperlukan oleh semua gabungan parti politik. Nilai UMNO menjadi begitu tinggi dan menjadi tidak wajar sekiranya parti Melayu/Islam ini terus diperkecilkan oleh mana-mana parti lain, khususnya jika ia datang dari parti chauvinist seperti DAP.