Penganalisis pelik kerajaan masih merungut walaupun subsidi dikurangkan

KUALA LUMPUR, — Seorang penganalisis ekonomi dan politik mempersoalkan mengapa kerajaan masih memberi gambaran beban subsidi sebagai isu besar walaupun beberapa langkah pengurangan subsidi telah dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut Eric See-To, ketika Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memegang portfolio Menteri Kewangan pada 2022, kerajaan masih mengekalkan harga RON95 pada RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter walaupun harga komoditi dunia ketika itu berada pada paras yang sangat tinggi susulan pembukaan semula ekonomi global selepas pandemik Covid-19 serta kesan perang Ukraine.

Katanya, keadaan itu menyebabkan jumlah subsidi pada 2022 mencecah RM77.3 bilion.

“Subsidi pukal all the way dengan harga RON95 RM2.05 dan diesel RM2.15.

“Sebab itu jumlah subsidi pada tahun 2022 mencecah RM77.3 bilion,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Menurut beliau, PETRONAS pada masa sama turut memainkan peranan besar menyokong kedudukan kewangan negara apabila keuntungannya melonjak daripada sekitar RM50 bilion kepada RM101.7 bilion.

Eric berkata, sejak kerajaan Madani mengambil alih selepas 2022, beberapa langkah rasionalisasi subsidi telah dilaksanakan termasuk pengurangan subsidi elektrik selepas tarif bagi sektor komersial dan pengguna melebihi 600 kWh dinaikkan pada 2023.

Beliau berkata, subsidi diesel turut menurun selepas pelaksanaan penyasaran semula pada Jun 2024.

Selain itu, katanya, subsidi RON95 juga berkurang selepas skim Budi95 diperkenalkan pada Oktober 2025, walaupun harga bersubsidi hanya turun enam sen daripada RM2.05 kepada RM1.99.

Menurut beliau, keadaan itu berlaku kerana had pembelian dinaikkan, selain tidak semua pengguna masih layak menerima subsidi manakala sektor komersial perlu membayar harga penuh.

Dalam masa sama, beliau mendakwa eksport LNG Kanada yang bermula pada 2025 dijangka memberi tambahan hasil kepada PETRONAS sekitar RM11 bilion bagi tahun 2026.

Namun begitu, Eric berkata kerajaan masih memberi gambaran bahawa tambahan pendapatan PETRONAS pada tahun ini, sekiranya harga minyak dunia melebihi AS$100 setong seperti pada 2022, tidak mencukupi untuk menampung subsidi yang dianggarkan mencecah RM48 bilion.

“Subsidi RM77.3 bilion pada tahun 2022 di bawah kerajaan PN-BN mampu ditanggung.

“Tetapi selepas berkali-kali mengurangkan subsidi dan menambah hasil dari Kanada, kerajaan Madani pula dikatakan tidak mampu menanggung subsidi yang mungkin hanya sekitar RM48 bilion,” katanya. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat