KUALA LUMPUR, 11 Mac 2026 – Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Ashwad Ismail di Bangunan Angkasapuri Kota Media hari ini bagi membincangkan usaha memperkukuhkan kerjasama antara penyiar awam negara dan syarikat produksi tempatan.
Delegasi PTVM yang diketuai Presidennya, Dato’ Jurey Latiff Rosli berkata pertemuan itu merupakan langkah penting dalam mempererat hubungan strategik antara RTM dan industri penerbitan televisyen tempatan yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan kandungan kreatif negara.
Menurut beliau, perbincangan turut menyentuh realiti semasa industri penerbitan televisyen yang kini berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos operasi syarikat, kos produksi yang semakin tinggi serta peluang projek yang semakin terhad.
“Majoriti syarikat produksi tempatan merupakan syarikat kecil dan sederhana yang telah bertahun-tahun bertahan dalam industri ini. Walaupun tidak mempunyai projek secara berterusan, mereka tetap perlu menanggung pelbagai kos operasi seperti lesen, cukai, kos pentadbiran serta kos penyediaan pitching proposal bagi memastikan syarikat terus beroperasi secara sah dan profesional,” katanya.
Dalam sesi perbincangan tersebut, PTVM turut mengemukakan beberapa cadangan bagi memperkukuhkan kelangsungan industri kandungan tempatan.
Antara cadangan yang dibangkitkan termasuk meningkatkan kekerapan perolehan kandungan oleh RTM sekurang-kurangnya tiga kali setahun, selain mengekalkan jumlah episod produksi bagi memastikan projek kekal kos efektif kepada syarikat produksi.
PTVM juga mencadangkan supaya RTM menyediakan *need statement* untuk projek kerjasama penerbitan (*co-production*) bagi membuka peluang kandungan tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Selain itu, persatuan tersebut turut menyarankan pendekatan yang lebih seimbang dalam pengurusan hak cipta intelek (IP) serta memperkukuhkan kerjasama antara RTM dan PTVM sebagai rakan strategik dalam pembangunan industri kandungan negara.
Dalam masa yang sama, PTVM mencadangkan supaya perolehan kandungan *syndicated* daripada pengedar luar negara mengambil kira pendekatan timbal balik (*reciprocal*), iaitu membuka ruang kepada kandungan Malaysia untuk turut dipasarkan di negara berkenaan.
Menurut Jurey, kerjasama yang lebih erat antara RTM dan pemain industri amat penting bagi memastikan ekosistem kandungan tempatan terus hidup, berkembang dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ashwad dan pihak RTM atas kesudian menerima kunjungan hormat tersebut.
“PTVM berharap pertemuan ini menjadi permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara penyiar awam negara dan penggiat industri televisyen tempatan,” katanya.



