KUALA LUMPUR – Presiden Muhyiddin Yassin menegaskan dakwaan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini lemah atau berpecah adalah tidak tepat.
Menurut beliau, tanggapan tersebut timbul apabila ada pihak membuat kesimpulan berdasarkan beberapa perkembangan dalam parti tanpa melihat langkah yang telah diambil oleh kepimpinan bagi menyelesaikan isu berkenaan.
“Tidaklah tepat bagi banyak pihak yang meramalkan bahawa Bersatu ini sudah lemah ataupun berpecah. Jauh sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia bersama pengamal media serta barisan pemimpin tertinggi parti di ibu negara pada Rabu.
Muhyiddin berkata kepimpinan parti telah mengambil tindakan sewajarnya termasuk langkah disiplin terhadap pihak yang melanggar peraturan parti.
Selain itu, katanya, beberapa langkah penambahbaikan turut dilaksanakan dalam organisasi parti bagi memastikan Bersatu terus berada dalam keadaan kukuh dan tersusun.
Menurut beliau, usaha tersebut penting bagi memastikan parti itu kekal stabil serta mampu memainkan peranan dalam gabungan Perikatan Nasional dalam menghadapi cabaran politik akan datang.



