CYBERJAYA — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melakukan siasatan ke atas enam individu yang dipercayai telah memuat naik kandungan berunsur palsu dan jelik melibatkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Majlis Raja-Raja di platform media sosial Facebook.
Melalui satu kenyataan MCMC berkata, operasi pemeriksaan telah dijalankan hari ini melibatkan salah seorang suspek di Setapak Kuala Lumpur, yang memuat naik kandungan palsu terhadap Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
“Satu (unit telefon pintar, dan satu unit kad sim yang berkaitan dengan kes telah disita bagi membantu siasatan.
“Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes,” katanya hari ini.
Selain itu, satu kes akan disiasat bersama dengan pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) PDRM, yang mana suspek akan diambil keterangan esok.
“Operasi pemeriksaan bagi kes-kes lain pula akan dijalankan sepanjang minggu ini ke atas semua suspek di lokasi berasingan sekitar Sungai Petani, Kota Bharu, Kerian dan Teluk Intan.
Terdahulu, dua notis telah dikeluarkan oleh MCMC kepada dua orang suspek untuk hadir memberikan keterangan bagi kandungan yang dimuat naik oleh mereka di platform media sosial Facebook.
Siasatan menyeluruh akan dibuat dan seterusnya kes akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk keputusan selanjutnya.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.