Oleh Zihan Zari
BUKIT KAYU HITAM – Pasukan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup sayuran (tomato dan halia) seberat 2, 215 kilogram (kg) dari Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dekat sini, pada Isnin.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh AKPS memaklumkan, rampasan itu dilakukan ketika pemeriksaan rutin pada jam 10.30 malam di laluan pemeriksaan kenderaan berat ICQS.
Menurutnya, pemeriksaan teliti oleh pasukan pegawai petugas AKPS mendapati sayuran yang dirampas itu keseluruhannya dianggarkan bernilai RM4,530.
Menurutnya lagi, ianya diimport tanpa Sijil Perakuan 3P (Perlabelan, Penggredan dan Pembungkusan), sebagaimana diwajibkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Kegagalan mengemukakan perakuan ini adalah jelas melanggar peruntukan Subseksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), ”kata kenyataan itu pada Selasa.
“Semua barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah untuk siasatan dan tindakan lanjut,”katanya lagi. – SUARA.TV