KUALA LUMPUR – Selepas disingkirkan daripada jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali digugurkan pula daripada jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS berkuat kuasa Khamis.

Pengguguran Khairuddin itu disahkan olen Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang apabila keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat PAS Pusat pada Rabu berikutan masalah disiplin.

“Oleh kerana pelantikan beliau dalam Majlis Syura dibuat Jawatankuasa PAS Pusat, maka PAS Pusat membatalkan pelantikan itu.

“Oleh itu beliau bukan lagi Setiausaha Majlis Syura Pas berkuatkuasa semalam (Khamis),” katanya memetik Sinar Harian selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, di Marang pada Jumaat.

Jelas Abdul Hadi, Khairuddin kini hanya ahli PAS tanpa memegang jawatan tertinggi dalam parti.

Pada 12 Januari lalu, bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu digugurkan sebagai AJK Pas selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu.

Khairuddin sebelum ini tersingkir ketika pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS bagi sesi 2021-2023 yang dijalankan ketika Muktamar Tahunan Pas Ke-67 pada 7 November lalu.

Beliau bagaimanapun dilantik semula sebagai AJK PAS pada 23 November lalu.