Vaksin Percuma Untuk Warga Asing

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Kerajaan bersetuju Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula hujung bulan ini diperluaskan kepada warga asing yang menetap di Malaysia, secara percuma.

Persetujuan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin keputusan itu dibuat kerana bekalan vaksin yang diperoleh Malaysia mencukupi dan melebihi jumlah rakyat Malaysia yang layak menerimanya.

“Selain itu, pemberian ini juga kerana layanan sebahagian negara luar yang turut memberikan vaksin kepada warganegara Malaysia yang berada di negara berkenaan.

“Bagaimanapun, keutamaan pemberian vaksin adalah kepada warganegara Malaysia terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut jawatankuasa itu, pemberian vaksin secara percuma itu turut mengambil kira beberapa faktor lain antaranya persekitaran yang selamat dan bebas Covid-19 hanya boleh dicapai apabila seramai mungkin penduduk di Malaysia diberikan vaksin.

“Selain itu, faktor lain ialah ketika tempoh pandemik, pemberian vaksin adalah langkah berperikemanusiaan, rekod jumlah pesakit yang ramai menerusi kluster yang wujud daripada pekerja asing (sektor perladangan, pembinaan dan pembuatan), kos rawatan dan kuarantin pesakit Covid -19 yang tinggi akibat daripada jangkitan kepada kluster pekerja asing.

“Pekerja asing sudah menjadi sebahagian daripada komuniti masyarakat dan turut menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Tambahnya, pemberian vaksin itu juga selari dengan pendirian kerajaan untuk memberikan vaksin kepada seramai mungkin populasi Malaysia bagi membolehkan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam usaha membendung pandemik Covid-19 di negara ini.

Malaysia dijangka menerima vaksin COVID-19 daripada Pfizer-BioNTech pada penghujung Februari dengan petugas barisan hadapan menjadi penerima awal vaksin itu.

Selain Pfizer-BioNTECH, terdapat beberapa jenis vaksin COVID-19 yang sudah dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) iaitu vaksin keluaran Astra Zeneca-Oxford, Sinovac Biotech dan Institut Penyelidikan Gamaleya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma, membabitkan tiga fasa.

Fasa pertama katanya, akan membabitkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan, dengan program imunisasi dijadualkan tamat pada April.

“Fasa kedua pula membabitkan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19. Mereka ialah warga emas dan golongan rentan berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi.

“Selain itu fasa kedua turut membabitkan golongan orang kelainan upaya (OKU) dan sebanyak 9.4 juta orang dianggarkan menerima vaksin di bawah fasa kedua ini, yang akan berlangsung mulai April hingga Ogos 2021.

“Bagi fasa ketiga membabitkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang akan bermula Mei hingga Februari tahun depan, dengan fasa ini bertujuan membentuk perlindungan kelompok, seterusnya mengawal pandemik secara menyeluruh,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat