Titah Adendum : Elak Spekulasi, Hormati Proses Mahkamah – Azalina

- Advertisement -

Cyberjaya – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said, menasihatkan rakyat, terutama ahli UMNO, agar tidak membuat spekulasi berhubung isu Titah Adendum Datuk Seri Najib Razak. Beliau menegaskan bahawa tindakan sedemikian boleh menimbulkan subjudis dan mengganggu proses kehakiman.

Azalina, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), menjelaskan bahawa isu ini telah dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk ditentukan.

“Kalau Mahkamah Rayuan sudah buat keputusan bahawa perlulah Mahkamah Tinggi dipulangkan balik tentang isu titah itu, saya nak minta semua dari parti untuk serahkan balik kepada Mahkamah Tinggi.

“Pada 13 Januari, Mahkamah Tinggi akan tetapkan tarikh perbicaraan dan saya minta kita semua tak payah buat spekulasi kerana sekarang ini mahkamah memainkan peranan untuk membuat penentuan.” katanya dalam kenyataan kepada UMNO Online.

Beliau turut mengingatkan ahli parti untuk tidak memberikan komen atau membuat spekulasi yang boleh dianggap tidak adil kepada semua pihak yang terlibat.

Azalina, yang juga Ahli Parlimen Pengerang, menekankan bahawa kewujudan Titah Adendum telah terbukti dan kini akan melalui proses di Mahkamah Tinggi. “Yang penting sekarang adalah pengesahan mengenai kewujudan dokumen tersebut. Ini bukan soal kesahan undang-undang tetapi tentang kewujudan fakta, dan pihak yang terlibat akan dipanggil oleh mahkamah untuk memberikan keterangan,” katanya.

Beliau menggesa ahli UMNO untuk memberi ruang kepada mahkamah membuat keputusan berdasarkan fakta yang disampaikan.

“Jadi saya nak minta ahli parti kita biarlah mahkamah membuat keputusan setelah semua fakta diterima oleh mahkamah daripada semua pihak,”  ujarnya.

Pada Isnin lalu, media melaporkan bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan atau enam pihak lain mengesahkan kewujudan Titah Adendum tersebut.

Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi, bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan keputusan majoriti 2-1. Panel tersebut memutuskan untuk mengembalikan kes ini ke Mahkamah Tinggi bagi merit semakan kehakiman diputuskan.

Azalina berharap semua pihak, khususnya ahli UMNO, dapat bersabar dan menyerahkan perkara ini kepada proses kehakiman untuk menentukan kebenaran berdasarkan fakta dan undang-undang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat