KUANTAN: Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menasihatkan Senator Ti Lian Ker jangan cuba percik api perkauman dalam melibatkan 3R (kaum, agama dan institusi raja).
Tegas beliau, jangan nampak terlalu terdesak.
Menteri Besar Pahang itu merujuk Lian Ker ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Negara meminta kerajaan tidak meneruskan program berkenaan sebaliknya menganjurkan kongres ekonomi yang menguntungkan keseluruhan rakyat.
Ujar bekas Naib Presiden MCA itu, sudah tiba masa Kongres Ekonomi Bumiputera tidak lagi ditunggang bagi meraih keuntungan politik atau dijadikan sebagai platform pihak oportunis mengambil kesempatan.
Kata beliau, ia bukan langkah untuk menidakkan hak orang Melayu tetapi setelah lebih 50 tahun, negara masih lagi mengadakan majlis Kongres Ekonomi Bumiputera bersiri-siri yang gagal mencapai matlamat.
“Saya meneliti ucapan-ucapan yang disampaikan oleh Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker akhir-akhir ini macam sengaja cari masalah. Tidak pasti sama ada luka masih berdarah melihat keakraban Kerajaan Perpaduan, atau sengaja nak cari nama atau publisiti di ‘hujung nyawa’ politik beliau.b
“Kunci terhadap Malaysia yang lebih berpadu dan harmoni adalah orang Melayu harus kuat dan stabil baik dari sudut politik mahupun ekonomi.
“Sejarah telah membuktikan jika agenda Melayu dan kepentingan Melayu terkebelakang, maka kestabilan sosiopolitik dan sosioekonomi negara juga turut akan terjejas keseluruhannya. Mundur Melayu, mundur jua lah negara.” Kata Wan Rosdy.
Soal Wan Rosdy, masalah kalau ada kongres yang membincangkan soal ekonomi orang Melayu?
Jelasnya, kongres ini untuk kepentingan nasional dan nikmatnya akan turut dikongsi oleh kaum-kaum lain, seperti yang dinikmati sekarang.
“Paling mustahak, tidak ada halangan untuk mana-mana kaum pun di bumi Malaysia ini mengadakan kongres seperti ini. Masyarakat Cina sebagai contoh, punyai banyak kongres dan perbincangan yang diadakan melalui pelbagai persatuan dan NGO yang berasaskan ekonomi, dan ia tidak langsung dijadikan isu.
“Malah saya sebagai Menteri Besar Pahang juga ada beri sumbangan khas Kerajaan Negeri kepada persatuan-persatuan ini.
“Justeru saya pesan kepada Senator Ti, jangan cuba percik api perkauman dalam agenda yang melibatkan 3R (kaum, agama dan institusi raja). Jangan nampak terlalu terdesak, risau nanti tersedak,” katanya.-SUARATV