Jalan berlumpur, 4X4 tersangkut dalam lubang

- Advertisement -

Sudah maklum Pos Gob adalah kawasan penempatan Orang Asli paling jauh di daerah Gua Musang, Kelantan, selain sering dimomokkan keadaan jalan yang tidak elok sehingga ada kalanya memakan masa sehingga lebih 14 jam untuk sampai ke destinasi.

Lantas, peluang penulis ke Kampung Gob terletak di daerah itu untuk misi menyampaikan bantuan pelbagai bekalan makanan dan ubatan tidak ditolak kerana ingin merasai pengalaman memasuki perkampungan Orang Asli.

Memulakan perjalanan dari Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, jam 9.30 pagi bersama rombongan 41 pacuan empat roda (4X4) membabitkan 150 orang.

Antara menyertai rombongan itu termasuk dari badan bukan kerajaan (NGO), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Pertahan Awam (JPA), selain disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Neggiri, Ab Aziz Yusoff.

Cabaran bermula apabila sampai di Kampung Gawin, kenderaan pertama rombongan tersekat di jambatan yang sudah usang, di sini kami tersadai hampir tiga jam menunggu bantuan jambatan dibaiki.

Laluan berlumpur dan becah menyebabkan kenderaan tersadai tidak dapat meneruskan perjalanan ke Kampung Gob. - NSTP/Paya Linda Yahya
Laluan berlumpur dan becah menyebabkan kenderaan tersadai tidak dapat meneruskan perjalanan ke Kampung Gob. – NSTP/Paya Linda Yahya

 

Peserta kemudian bergotong-royong membaiki jambatan kayu itu dengan mencari pokok, menebangnya dan menyusun bagi membolehkan kenderaan melintas semula.

Usai berdepan dengan situasi itu, rombongan kami melalui laluan berlumpur sejauh dua kilometer. Pacuan empat roda TNB pula tersekat ketika menaiki bukit kerana jalan berlumpur dan tayar kereta pula tersangkut di lubang yang dalam.

Kenderaan 4X4 dinaiki penulis membantu menarik kenderaan TNB yang tersangkut.

Malah, ketika di Kampung Gawin ini, ada beberapa kenderaan sudah tidak dapat meneruskan misi kerana jalan berlumpur, terpaksa bermalam di situ.

Terkandas di tengah jalan

Kenderaan membawa penulis dan beberapa kenderaan lain yang tiada masalah meneruskan perjalanan sebelum berhenti seketika untuk makan tengah hari walaupun jam sudah menunjukkan jam 5 petang.

 

Penulis (kanan) bersama rombongan lain ketika melalui pengalaman lebih 14 jam ketika memasuki kawasan perkampungan Orang Asli. - NSTP/Paya Linda Yahya
Penulis (kanan) bersama rombongan lain ketika melalui pengalaman lebih 14 jam ketika memasuki kawasan perkampungan Orang Asli. – NSTP/Paya Linda Yahya

 

Ketika menuju ke Kampung Gob, kenderaan dinaiki penulis meredah lagi jalan berlumpur dan kenderaan tergelincir masuk ke lubang sedalam empat meter.

Menariknya, apa juga cabaran itu, ada kenderaan lain yang membantu menarik kenderaan yang termasuk ke dalam lubang.

Di sinilah kemahiran dan pengalaman pemandu teruji kerana perlu mengendalikan kenderaan dalam apa juga keadaan.

Dalam kegelapan malam, kenderaan dinaiki penulis masih gagah membelah malam. Sesekali rasa risau dan cemas menerpa, bimbang kalau muncul binatang buas secara tiba-tiba.

Sepanjang perjalanan, beberapa kali kenderaan dinaiki berhenti untuk menunggu kenderaan lain. Pemandu sesekali akan melaporkan keadaan jalan kepada peserta lain.

Jambatan rosak, tanah runtuh

Namun, daripada 41 kenderaan berkonvoi, hanya 15 kenderaan berjaya sampai ke Kampung Kajang, kira-kira jam 10 malam, manakala selebihnya berpatah balik ke Kampung Gawin.

Perjalanan ke Kampung Gob gagal diteruskan, sebaliknya hanya menyerahkan bantuan makanan dan ubatan kepada penduduk Orang Asli di Kampung Kajang dan Kampung Gawin.

Walaupun apapun cabaran, kami tetap puas meskipun misi ke Kampung Gob gagal disebabkan jambatan rosak dan tanah runtuh.

Kami hanya tidur seketika di khemah dan ada di dalam kenderaan, sebelum meneruskan perjalanan jam 10 pagi keesokan hari ini.

Bela nasib Orang Asli

Ketika menyertai misi bantuan itu, sempat penulis bersembang dengan seorang pemuda Orang Asli dari Kampung Kajang, John Busu, yang memaklumkan akibat jalan rosak teruk beliau kerap tidak dapat keluar untuk membeli barangan dan makanan.

 

John Busu ketika memberi penerangan mengenai kawasan perkampungan Orang Asli. -  NSTP/Paya Linda Yahya
John Busu ketika memberi penerangan mengenai kawasan perkampungan Orang Asli. – NSTP/Paya Linda Yahya

 

 

Peserta rombonga bergotong-royong membaiki jambatan kayu yang patah. - NSTP/Paya Linda Yahya
Peserta rombonga bergotong-royong membaiki jambatan kayu yang patah. – NSTP/Paya Linda Yahya

 

“Jalan rosak saya susah nak keluar, nak beli beras, nak beli susu anak. Hanya bergantung pada ubi kayu dan ada kalanya diganggu oleh gajah liar,” katanya ditemui bersama bapanya yang memikul beberapa beg beras untuk dibawa pulang untuk keluarganya yang menanti di rumah.

Penulis juga bertemu dengan Mohd Noor Haslan Hussin, 35, yang sudah kerap kali ke Perkampungan Gob, Pos Gob untuk menghantar bantuan makanan kepada masyarakat Orang Asli.

Menurutnya, beberapa hari sebelum kami ke Perkampungan Gob, ada anggota kesihatan membuat pemeriksaan rutin penduduk di situ.

Apa yang boleh penulis kongsikan, meskipun misi menghantar bantuan makanan sejauh 70 kilometer ini tidak dapat dihantar sepenuhnya kepada penduduk Orang Asli, kami tetap berpuas hati kerana tanggungjawab membela nasib golongan itu jauh di pedalaman tetap dirasai dan tidak mungkin dilupa.

Sekiranya sekali lagi diajak ke sana, tanpa ragu penulis sedia menyertainya meskipun melalui pelbagai cabaran getir.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat