Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Seramai 6,382 graduan Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia (IPG, KPM) dirai dalam lapan sidang majlis istiadat penuh gemilang pada Konvokesyen IPGM ke -14 Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dekat sini, telah berlangsung selama lima hari dan berakhir pada 7 November lalu.
Kesemua graduan telah menamatkan pengajian serta latihan perguruan di 28 kampus IPG termasuk English Language Teaching Centre (ELTC), menerima pengiktirafan masing-masing melalui penganugerahan ijazah, diploma dan sijil.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kesemua graduan yang telah menamatkan pengajian mereka selama lima tahun telah pun memulakan tugas sebagai pendidik, dua bulan lepas.
“Mereka merupakan tenaga pengajar yang terlatih dan telah bersedia untuk mendidik di lokasi penempatan masing-masing dan KPM akan memastikan IPG terus menjadi institusi pendidikan yang mampu melahirkan guru dan cendekiawan di negara ini.
“Komitmen kita adalah memastikan semua anak kita mendapat pendidikan terbaik daripada guru-guru ini,”katanya.
Terdahulu beliau telah merasmi dan menyampaikan skrol Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian kepada 625 orang graduan ambilan Jun 2020.
Menerusi kenyataan oleh IPG, KPM memaklumkan, kesemua 6,382 pelajar mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP); Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP); Program Diploma Perguruan (PDP), dan Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO).
Pada sidang kedua, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh telah menyempurnakan penyampaian bagi anugerah Ijazah Sarjana Muda Perguruan kepada 668 orang graduan yang mengikuti program pendidikan rendah bagi bidang pengkhususan Bahasa Cina; Bahasa Iban; Bahasa Kadazandusun; Bahasa Tamil; Matematik; Jasmani; Muzik; Seni Visual, dan Sains.
Bagi sidang 3 pula, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Hj. Ruji Ubi, telah menyempurnakan majlis penyampaian anugerah Ijazah Sarjana Muda Perguruan kepada 847 orang graduan ambilan Jun 2020 dalam bidang pengkhususan Pengajaran Bahasa Inggeris bagi Pendidikan Rendah.
Manakala, pada sidang 4, Ketua Pengarah Pendidikan, Hj. Azman Adnan telah menyampaikan anugerah Ijazah Sarjana Muda Perguruan kepada 824 orang graduan ambilan Jun 2020 dalam bidang pengkhususan Bahasa Melayu Pendidikan Rendah.
Sidang 5 pula, seramai 817 graduan ambilan Jun 2020 bidang pengkhususan Bahasa Melayu Pendidikan Rendah telah menerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan daripada Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Hj. Shafruddin Ali Hussin.
Sidang 6 menyaksikan seramai 833 graduan ambilan Jun 2020 dalam bidang pengkhususan Bahasa Melayu Pendidikan Rendah dan Pendidikan Islam Pendidikan Rendah telah menerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan.
Mereka telah menerima anugerah tersebut daripada Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM, Dr. Rusmini Ku Ahmad.
Pada sidang 7, seramai 810 graduan ambilan Jun 2020 dalam bidang pengkhususan Pendidikan Islam Pendidikan Rendah telah menerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan daripada Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas.
Bagi Sidang 8, Rektor IPG KPM, Dr. Mohd Azam Ahmad telah menyempurnakan anugerah Diploma Pascasiswazah Pendidikan, Diploma Perguruan dan Sijil Siswazah Lanjutan kepada 958 graduan.
Dr. Mohd Azam berkata, seramai 362 graduan PISMP, 97 orang graduan program tajaan KPM dalam Pendidikan Guru Cemerlang, merangkumi Bahasa Arab, Tahfiz, Bahasa Mandarin, Bahasa Perancis, dan Guru Perkhidmatan Kontrak, serta 427 pelajar PDPP yang ditaja oleh agensi luar telah menyertai institut ini.
“Data ini jelas menunjukkan bahawa IPG KPM bukan sahaja berperanan melahirkan guru berkualiti untuk sekolah-sekolah di bawah KPM, malah diiktiraf oleh agensi luar untuk menyediakan pendidikan guru bagi calon guru mereka, ”katanya.
“Dalam istiadat konvokesyen ini, graduan-graduan yang menunjukkan kecemerlangan dalam kepimpinan, kokurikulum dan akademik turut menerima pengiktirafan daripada tetamu kehormat.
“Antaranya, penerima Anugerah Khas Emas, Muhammad Asif Mohd Fahmi, dan penerima Anugerah Khas Kokurikulum, Jasmin Tay Jing Xuan.
“Ahli jawatankuasa yang terlibat dalam melaksanakan konvokesyen ini terdiri daripada pegawai-pegawai, staf IPG KPM, dan pensyarah-pensyarah, serta pelajar-pelajar yang sedang mengikuti latihan di IPG Kampus Ilmu Khas, ”tambah kenyataan itu lagi. – SUARA.TV