KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan dakwaan kehadiran tentera China ke sebuah sekolah persendirian di Pulau Pinang, Sabtu lalu adalah tidak benar.
Sebaliknya mereka adalah terdiri daripada sekumpulan pelajar termasuk pensyarah dari Naval University of China kata, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurut beliau, rombongan yang membawa seramai 165 pelajar termasuk pensyarah itu adalah berkaitan program sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.
KPM memberi perhatian terhadap salah faham yang timbul dalam kalangan masyarakat berhubung perkara itu, malah pihak sekolah yang dimaksudkan juga telah membuat laporan polis bagi mengelak fitnah berpanjangan.
“Pertama yang saya ingin betulkan, ia bukan kehadiran tentera (sebaliknya) kehadiran pelajar (dan pensyarah) universiti dan kenyataan (dakwaan kehadiran tentera) ia sama sekali tidak betul sehingga wujud salah faham.
“Di sini, saya juga ingin tegaskan bahawa kehadiran mereka adalah sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.
“Kedua ia adalah program pertukaran kebudayaan dan sukan manakala yang ketiga adalah program membabitkan pelajar universiti dan juga sekolah persendirian terbabit yang telah pun mendapat kebenaran daripada semua pihak autoriti,” katanya di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Khamis.
Beliau mengulas berhubung dakwaan kehadiran Tentera Laut China di Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) Sabtu lalu, lapor BH.
Terdahulu, Fadhlina ditemui ketika merasmikan Majlis Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ke-62 di Bertam, hari ini.
Persidangan itu bertemakan ‘Pendidikan Manusiawi Memacu Pendidikan Negara Madani’ dihadiri 674 pengetua seluruh negara.
Sabtu lalu, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan kunjungan 1,000 pelatih tentera laut China ke negeri itu menaiki dua kapal iaitu Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang untuk kunjungan silaturahim.
Pasukan tugas ke-83 Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) dan pelatihnya dibawa melawat beberapa tempat menarik di Pulau Pinang dan turut berkesempatan berinteraksi dengan penduduk tempatan ketika sesi lawatan berkenaan.
Bagaimanapun, lawatan itu mencetuskan kontroversi apabila kunjungan sebahagian daripada anggota tentera laut China berkenaan ke satu majlis di Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) tular di beberapa platform sosial media.