PDRM mulakan siatan terhadap pemilik akaun Twitter khalid@khalids

- Advertisement -

KUALA LUMPUR, 9 Okt — Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan terhadap pemilik akaun Twitter khalid@khalids yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai senarai kematian guru disebabkan vaksin COVID-19 susulan laporan polis oleh Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menfitnah, Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

“Pemilik akaun berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ciapan yang dimuat naik mengenai kematian 41 guru akibat vaksin COVID-19 semalam telah mengundang pelbagai reaksi dan maklum balas warganet.

“PDRM menasihati orang ramai supaya cakna dan peka terhadap pihak yang cuba mengganggu kelancaran program vaksinasi COVID-19 yang sedang dilaksanakan kerajaan dan orang ramai juga digesa menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah serta tidak menggunakan platform terbabit untuk menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya,” katanya.

Abdul Jalil juga berkata tindakan tegas bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di Twitter berkata beliau telah mengarahkan KKM membuat laporan polis terhadap pengguna laman sosial itu yang didakwa menyebarkan berita palsu berkaitan vaksin COVID-19.

Sebelum ini, tular video berdurasi 31 saat yang memaparkan hantaran dilakukan pengguna Twitter berkaitan senarai kematian guru sekolah akibat divaksinasi.

Bagaimanapun, semakan Bernama terhadap akaun Twitter terbabit mendapati ia gagal diakses.

Bernama difahamkan laporan polis itu dibuat oleh pegawai KKM di Balai Polis Presint 7, Putrajaya pada kira-kira 9.45 malam.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat