KKMM Sasar 97 Peratus Liputan 4G Di Seluruh Negara Menjelang Hujung 2022 – Annuar

- Advertisement -

CAMERON HIGHLANDS – Sebanyak 97 peratus kawasan di seluruh negara disasarkan mendapat kemudahan liputan rangkaian jalur lebar generasi keempat (4G) menjelang hujung tahun hadapan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Tan Sri Annuar Musa berkata kerajaan menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah memperuntukkan dana hampir RM4 bilion bagi merangka pembangunan infrastruktur untuk mencapai sasaran berkenaan.

Beliau berkata peruntukan itu antaranya melibatkan penambahbaikan capaian 4G di kawasan yang masih menerima liputan 3G, pemasangan gentian fiber optik, pembinaan serta menaik taraf menara telekomunikasi di seluruh negara terutamanya di kawasan pedalaman dan penempatan Orang Asli.

“Semua kertas arahan kerja menerusi JENDELA fasa satu akan dikeluarkan dengan kesemua projek harus disiapkan menjelang hujung 2022.

“Kita bekerja keras untuk merealisasikan sasaran ini, KKMM dengan semangat Keluarga Digital Malaysia akan memastikan penglibatan penyedia perkhidmatan atau syarikat telekomunikasi sekali gus mencapai aspirasi capaian internet sebagai hak asasi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin komuniti Orang Asli, wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli serta guru-guru di Sekolah Kebangsaan Telanok yang terletak kira-kira 51 kilometer dari Tanah Rata.

Pertemuan itu merupakan sebahagian daripada rangka lawatan sempena Program Kembara Connectivity KKMM melibatkan Selangor, Pahang dan Perak.

Turut hadir Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek

Sementara itu, Annuar berkata Pahang merupakan negeri yang diberikan keutamaan dalam perancangan fasa satu JENDELA.

“Ia kerana memandangkan dalam kalangan negeri-negeri di Semenanjung, Pahang dari segi peratusannya (capaian jalur lebar), secara relatifnya rendah dan (sasaran) menjelang akhir tahun hadapan negeri ini akan bersama-sama dengan negeri lain.

“Oleh itu untuk keseluruhan kawasan Cameron Highlands sahaja kita memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk penambahbaikan rangkaian dan capaian internet terutamanya di kawasan penempatan Orang Asli,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,578FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat