KUALA LUMPUR – Kedudukan Datuk Haji Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dilihat semakin goyah apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi beberapa isyarat yang seolah-olah mempersoalkan kedudukan dan penjelasan beliau dalam kemelut politik negeri itu.
Isyarat pertama dikatakan muncul dalam Taklimat Tertutup Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 pada Rabu lalu.
Menurut sumber yang mengikuti taklimat berkenaan, Ahmad Zahid ketika menyentuh keputusan Pilihan Raya Negeri Sembilan mengucapkan tahniah kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan kepimpinan negeri atas kemenangan Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, Presiden UMNO kemudiannya dilaporkan membuat kenyataan berbentuk kiasan bahawa parti “order barang lain, dapat barang lain”.
Kenyataan tersebut difahami sebahagian yang hadir sebagai merujuk kepada pelantikan Ismail sebagai Menteri Besar selepas pilihan raya, sedangkan beliau bukan calon yang menjadi pilihan awal gabungan BN-PN untuk mengetuai kerajaan negeri.
Sekiranya tafsiran itu tepat, kenyataan berkenaan memberikan gambaran bahawa kepimpinan tertinggi UMNO sendiri tidak sepenuhnya berpuas hati dengan perkembangan yang membawa kepada pelantikan Ismail.
Isyarat kedua pula muncul secara terbuka apabila Ahmad Zahid ditemui pemberita semalam dan ditanya mengenai pengakuan Ismail bahawa beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, tanpa rela hati dan secara paksaan atau “duress”.
Daripada menerima penjelasan Ismail begitu sahaja, Ahmad Zahid mempersoalkan dakwaan tersebut.
“Siapa yang paksa? Dia kata dia dipaksa, itu ayat dia,” katanya seperti dilaporkan media.
Ahmad Zahid kemudian berkata adalah lebih baik dakwaan tersebut disahkan oleh peguam yang hadir ketika proses penandatanganan proklamasi berkenaan.
“Saya rasa elok kalau kenyataan itu disahkan oleh peguam sendiri jika peguam itu hadir ketika penandatanganan proklamasi itu dikeluarkan,” katanya.
Kenyataan itu dilihat signifikan kerana Presiden UMNO tidak secara langsung mempertahankan penjelasan Menteri Besar daripada partinya sendiri, sebaliknya menyerahkan persoalan sama ada benar wujud paksaan kepada keterangan pihak lain yang berada dalam pertemuan tersebut.
Ahmad Zahid pada masa sama menegaskan beliau tidak berada dalam pertemuan berkenaan dan berkata UMNO tidak mahu campur tangan dalam kemelut tersebut kerana parti menghormati institusi diraja, institusi Undang dan adat Negeri Sembilan.
Beliau turut menafikan khabar angin bahawa Ismail telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepadanya.
Namun penafian itu tidak semestinya menamatkan persoalan mengenai masa depan politik Ismail.
Sebaliknya, apabila digabungkan dengan mesej yang disampaikan dalam Taklimat Presiden dan reaksi Ahmad Zahid terhadap dakwaan “duress”, ia memberikan gambaran bahawa kedudukan Ismail kini semakin mendapat perhatian kepimpinan tertinggi parti.
Ismail kelmarin mengakui beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi tersebut tetapi mendakwa berbuat demikian tanpa rela hati dan secara paksaan. Beliau membuat laporan polis pada 8 September bagi membolehkan siasatan dilakukan.
Pengakuan itu kini bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai keadaan ketika dokumen berkenaan ditandatangani, malah mencetuskan persoalan lebih besar mengenai kewibawaan Ismail untuk terus mengetuai pentadbiran negeri sekiranya beliau sendiri mendakwa boleh ditekan sehingga menandatangani sebuah dokumen sepenting itu.
Dengan tekanan daripada dalam BN yang semakin meningkat dan Presiden UMNO sendiri mahukan dakwaan paksaan itu disahkan pihak lain, persoalan kini bukan lagi sekadar mengenai apa yang berlaku ketika Surat Cara Proklamasi ditandatangani.
Persoalan yang semakin kuat kedengaran ialah berapa lama lagi Ismail mampu bertahan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.-SUARATV



