KUALA LUMPUR- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh mengesahkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan bermesyuarat esok (Jumaat).
Hannah mengesahkan beliau menjadi antara individu dipanggil untuk menghadiri mesyuarat terbabit bagaimanapun enggan memperincikan maklumat lanjut berhubung agenda yang disenaraikan.
“Ya saya boleh sahkan esok 8:30 pagi ada mesyuarat pengampunan. Kita sudah dipanggil dan itu sahaja setakat ini yang saya boleh berikan kepada anda semua,” katanya memetik BH pada Khamis ketika ditemui selepas melancarkan Fasa Ke-8 Program Mamogram Percuma Etiqa Dengan Kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).
Bagaimanapun, ditanya sama ada mesyuarat itu akan membincangkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah, Hannah turut enggan mengulas lanjut.
Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijangka bermesyuarat esok untuk mempertimbangkan, antara lain permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan terhadap sabitan berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas Perdana Menteri itu yang disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudiannya mengurangkan separuh tempoh penjaranya kepada enam tahun dan mengurangkan denda kepada RM50 juta.



