PH berkali-kali paksa Umno pilih antara kuasa dan prinsip – Akmal perjelas sebab pilih Pas

KUALA LUMPUR – Pemuda Umno tidak mencari gaduh, tetapi sayap muda itu juga tidak akan mendiamkan bahaya.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh memperincikan sebab Umno Umno memilih Pas berbanding meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Saya tahu, ada yang bertanya – mengapa Umno kini memilih Pas? Sebenarnya – sudah terlalu banyak kali kita diuji oleh PH dalam perkara yang menyentuh prinsip, maruah serta sensitiviti Melayu dan Islam.

“Sebab itu, kalau ada yang bertanya mengapa Umno mahu mengubah jalur politiknya untuk bersama Pas – jangan tanya Umno. Tanyalah PH, mengapa berkali-kali memaksa Umno memilih antara kuasa dengan prinsip.

“Kita masih ingat, ketika mereka mahu mendapatkan kuasa, bukan main lagi mereka menjunjung titah dan menghormati Raja-Raja Melayu. Tetapi apabila titah tidak lagi menepati selera politik mereka, hal babi pun mereka sanggup cabar titah raja.

“Saya mahu tanya di mana suara pemimpin-pemimpin PH yang lain? Mengapa diam? Apabila memerlukan raja, titah dijunjung. Apabila titah menghalang kepentingan mereka, raja pula mahu diajar! Inilah perangai dan wajah mereka yang sebenar! katanya dalam ucapan dasar Pemuda Umno pada Khamis.

Katanya, semalam, Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi turut mempersoalkan mengapa wujud dua piawaian dalam isu pengampunan. Apabila melibatkan pemimpin mereka, pengampunan dianggap sebagai keadilan. Tetapi apabila melibatkan pemimpin Umno, kuasa raja pula mahu dipersoalkan.

“Ketika mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Datuk Seri Najib, kita sedih, kita marah dan kita kecewa. Tetapi kita tidak pernah
mengisytiharkan mahkamah sebagai musuh. Kita terus memperjuangkan beliau melalui saluran undang-undang – kerana keputusan mahkamah, kita hormati.

“Kita tak pernah angkat kain rentang tulis “kita lawan mahkamah”. Kita tak pernah buat billboard besar-besar bebaskan Najib. Kita tak pernah ada
Countdown bebaskan Najib!

“Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima pengampunan penuh, Umno tidak mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong. Kita tidak menyerang titah Baginda. Kita menerimanya – kerana kuasa pengampunan Raja adalah kuasa mutlak yang termaktub dalam Perlembagaan, dan itu yang kita junjung tinggi.

“Apabila pengampunan memihak kepada mereka, namanya keadilan. Apabila melibatkan pemimpin kita, kuasa raja pula mahu dipersoalkan! Ini bukan prinsip, ini hipokrit. Prinsip Umno jelas, keputusan mahkamah kita hormati, kuasa raja kita junjung. Jangan pertikaikan kuasa mutlak raja.

“Hari ini, saya mahu bercakap terus kepada DAP dan sesiapa sahaja yang mahu menguji kesabaran orang Melayu – jangan sangka kerana Umno berada dalam kerajaan, Pemuda Umno akan duduk diam.

“Kami boleh bertolak ansur dalam politik, tetapi bukan dalam soal Islam, Melayu dan raja-raja. Selagi darah masih mengalir, selagi nadi masih berdenyut Pemuda Umno akan terus melawan, jawatan boleh hilang, kerajaan boleh bertukar tetapi maruah Melayu, kesucian Islam dan kedaulatan raja-raja tidak akan seseakli kami jual,” tegas Akmal.

Akmal memberitahu, beliau masih ingat ketika diherdik, dihina dan pendirian kita dipersoalkan, sahabat-sahabat daripada Pas datang menghulurkan tangan.

“Johor dan Negeri Sembilan membuktikan bahawa Umno dan Pas boleh saling menyokong apabila kepentingan ummah diletakkan mengatasi persaingan parti.

“Untuk hal ini Pemuda tidak mendakwa kita bergerak sendirian. Tetapi sejarah mesti berlaku adil. Sejak tiga tahun lalu, ketika seruan penyatuan masih dipandang sinis, Pemuda Umno konsisten membawa agenda tekad ummah, Pemuda Umno bekerja merapatkan saf dalaman dan Pemuda Umno berani membuka jalan perbincangan yang lebih luas,” ujarnya.

Menurut Adun Merlimau itu lagi, penyatuan ummah bukan cerita yang dicipta selepas kemenangan sebaliknya ia adalah jalan yang Pemuda buka sebelum hasilnya kelihatan.

“Kita tidak perlu menunggu seluruh bangsa bergerak untuk memulakan perubahan. Cukup ada satu kelompok yang berani mengambil langkah pertama dan saya percaya, Pemuda boleh memulakan gelombang ini.

“Gelombang besar tidak bermula apabila seluruh lautan bergerak serentak. Ia bermula daripada satu gerakan kecil yang terus mara, menyambut tenaga di sekelilingnya, lalu membesar sehingga mampu mengubah seluruh pesisir.

“Umno mempunyai kekuatannya. Pas juga mempunyai kekuatannya. Namun selagi dua tenaga besar ini bergerak sendirian dan saling bertembung, gelombang kita akan pecah sebelum sampai ke pantai. Apabila kedua-duanya bergerak dalam satu arah, Insya-Allah,
kita mampu merempuh apa jua cabaran.

“Kita boleh menenangkan hati dengan angka keahlian dan tepukan di dalam dewan ini. Tetapi di luar dewan, tenaga politik Melayu masih terpecah sedangkan masalah rakyat terus menunggu. Sebab itu pada awal tahun ini, Pemuda mengadakan Konvensyen Khas Pemuda untuk mendengar sendiri suara akar umbi, tanpa solekan, tanpa tapisan dan tanpa ketakutan.

“Ada yang bersetuju. Ada yang marah. Ada juga yang menuduh Pemuda biadab. Tetapi sejak bila bercakap benar kepada keluarga sendiri dianggap biadab?

“Timbalan Presiden pernah menyebut Pemuda sebagai loceng kecemasan parti. Loceng kecemasan tidak dibunyikan untuk menyedapkan telinga, ia dibunyikan untuk mengejutkan seluruh rumah sebelum api merebak.

“Pemuda tidak mencari gaduh, tetapi kita juga tidak akan mendiamkan bahaya. Saya tahu ada hati yang masih terluka. Orang Umno pernah kecewa dengan Pas. Orang Pas juga pernah kecewa dengan Umno.

“Ada kata-kata yang masih pedih, keputusan yang masih dipersoalkan dan kisah lama yang masih sukar dilupakan. Tetapi kalau kita terus menghitung siapa paling banyak melukakan dan siapa perlu terlebih dahulu meminta maaf, bangsa ini akan terus membayar harga perpecahan kita.

“Sampai bila anak cucu perlu menanggung sengketa yang bukan mereka mulakan? Tugas orang muda bukan mewarisi sengketa lama, tugas orang muda ialah memimpin masa depan,” seru beliau.

Akmal mengingatkan bahawa,” kita boleh berbeza. Kita boleh tidak bersetuju. Kita boleh agree to disagree. Tetapi janganlah kita terus disagree sehingga akhirnya orang Melayu kehilangan segala-galanya.

Ujarnya, berbeza pandangan tidak sepatutnya membuatkan kita lupa bahawa kita masih bersaudara.

“Namun sebelum mengajak rumah sebelah berjalan bersama, kita mesti memastikan anak- anak di dalam rumah sendiri tidak lagi terbuang. Kita tidak boleh bercakap tentang penyatuan Melayu jika keluarga Umno sendiri masih tidak tahu jalan untuk pulang.

“Atas kesedaran inilah Pemuda menggerakkan agenda tekad ummah- untuk menyatukan kembali keluarga perjuangan, merawat luka dan memulihkan kepercayaan dari dalam.

“Alhamdulillah, usaha konsisten Pemuda ini disambut dengan jiwa besar Datuk Seri Presiden melalui gagasan Rumah Bangsa. Jika Tekad Ummah membuka jalan untuk kembali, Rumah Bangsa menjamin pintunya benar-benar terbuka. Inilah kebesaran hati seorang Presiden – bukan menghitung siapa pernah pergi, tetapi memikirkan bagaimana seluruh keluarga dapat dibawa pulang. Apa yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan membuktikan bahawa usaha ini munasabah dan mula mengembalikan keyakinan rakyat.

“Pemuda tidak mahu dinilai melalui sekuat mana kita bercakap, tetapi sebanyak mana kita bekerja. Pemuda bukan pentas untuk belajar diam; Pemuda tempat memikul amanah.

“Jika parti perlu ditegur, kita tegur. Jika bangsa perlu dibela, kita lawan. Pemuda bukan dididik untuk takut, Pemuda dibentuk untuk berdiri, bekerja dan melawan,” tegas Akmal.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat