Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan gesa Menteri Besar segera selesaikan krisis adat

KUALA LUMPUR – Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Dato’ Bibi Sharliza Mohd Khalid menggesa Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim segera mengambil langkah menyelesaikan kemelut adat yang melanda negeri itu kerana isu berkenaan telah berlarutan sejak April lalu.

Beliau berkata, Ismail perlu memberikan penjelasan sebaik-baiknya berhubung dokumen proklamasi yang menjadi polemik dan tidak boleh mengambil masa terlalu lama untuk menanganinya.

“Apabila ada sesuatu perkara yang berlaku, kita harus selesaikan dengan segera. Menteri Besar kena melakukannya dengan segera. You cannot take your sweet time.

“Kalau masalah itu tidak diatasi dengan baik dan segera, saya bimbang macam-macam perkara lain boleh berlaku,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.

Krisis itu kembali menjadi perhatian selepas Undang Yang Empat mendedahkan dokumen proklamasi berkaitan penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang didakwa ditandatangani Ismail.

Ismail kemudiannya dilaporkan mengakui menandatangani dokumen berkenaan, tetapi mendakwa beliau berbuat demikian dalam keadaan tertekan atau “under duress”.

Kenyataan tersebut mencetuskan persoalan mengenai kedudukan dan kesahihan dokumen berkenaan, selain menimbulkan desakan supaya Menteri Besar memberikan penjelasan lengkap kepada rakyat.

Mengulas perkara itu, Bibi Sharliza berkata beliau tidak percaya wujud campur tangan kepimpinan tertinggi UMNO dalam urusan berkenaan.

“Saya tidak rasa ada campur tangan UMNO, terutamanya daripada kepimpinan atasan UMNO. Bagi kami, fokusnya adalah untuk menawan kembali Negeri Sembilan dan memenangi pilihan raya,” katanya.

Menurutnya, Negeri Sembilan mempunyai sistem adat Perpatih serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang berbeza daripada negeri-negeri lain, justeru perkara itu perlu difahami dan ditangani dengan penuh cermat.

Kemelut berkenaan, katanya, sepatutnya diselesaikan menerusi perbincangan bersama Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Sebagai kerajaan, kita hanya pentadbir yang menguruskan pentadbiran berkaitan adat, bukannya pihak yang menyelesaikan masalah adat.

“Adat Negeri Sembilan mempunyai penghulu, ibu soko dan rangkaiannya sendiri. Semua saluran itu perlu dilalui, manakala kerajaan bertanggungjawab dari sudut pentadbiran,” katanya.

Bibi Sharliza percaya Ismail memahami perkara itu kerana berasal dari Kuala Pilah dan telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri selama lebih 30 tahun.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa isu tersebut perlu diselesaikan segera bagi mengelakkannya terus menjadi polemik dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negeri.

“Keputusan kerajaan sudah selesai, Barisan Nasional sudah memerintah dan Menteri Besar sudah dilantik. Tetapi bagaimana pula dengan isu adat?

“Rakyat Negeri Sembilan memandang berat perkara ini. Mereka sudah memberikan kepercayaan kepada UMNO dan Barisan Nasional, maka kita tidak mahu mereka merasakan tindakan kita tidak menjurus kepada apa yang mereka harapkan,” katanya.

Beliau turut bimbang sekiranya kemelut itu dibiarkan berpanjangan, ia akan terus dimainkan menjelang Pilihan Raya Umum akan datang dan boleh menjejaskan usaha UMNO mengekalkan momentum kemenangan di Negeri Sembilan serta menghadapi pilihan raya di Melaka.

“Kita tidak mahu isu di Negeri Sembilan tersangkut sehingga menimbulkan masalah ketika menghadapi Melaka. Kita mahu gelombang biru berterusan dari Johor, Negeri Sembilan hingga Melaka.

“UMNO juga perlu berhati-hati kerana ada pihak yang cuba mempolemikkan perkara ini. Bagi saya, ia mesti diselesaikan dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat Negeri Sembilan supaya bertenang dan memberikan sedikit masa kepada kerajaan negeri untuk menangani kemelut berkenaan.

“Saya yakin perkara ini akan diselesaikan dengan baik. Kita mengharapkan yang baik-baik untuk Negeri Sembilan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat