Elak buat kenyataan jauhkan MCA, MIC daripada BN – MKT Umno

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja (MKT) Umno Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah merayu pimpinan tidak kiralah daripada parti mana sekali pun supaya mengelakkan membuat kenyataan yang boleh merenggangkan keakraban, saling hormat menghormati serta persefahaman komponen Barisan Nasional (BN) yang telah dibina sejak zaman dulu lagi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri itu mengingatkan, realitinya kita saling memerlukan antara satu sama lain.

“Tiada maknanya kita berpecah ketika ahli dan rakyat sebenar mahu parti yang stabil mewakili mereka.

“Perpecahan boleh menyebabkan BN tidak diyakini dan itulah yang berlaku di PRU15 apabila BN tawarkan ” kestabilan ” sedangkan rakyat melihat kita berpecah.

“Maka ketika mahu kerajaan ini kukuh, apa maknanya jika BN, parti kita berpecah? soal Shamsul Annuar dalam kenyataan di Facebooknya.

Menurut beliau adalah salah dan tidak tepat kalau hanya mengukur sumbangan atau kekuatan mana mana parti dalam BN termasuk MCA dan MIC berasaskan jumlah kerusi yang mereka ada atau menang dalam pilihan raya.

“Kerana faktanya undi mereka berada di mana-mana. Biarpun di sesetengah tempat jumlahnya kecil tapi ia tetap penting kerana dalam politik satu undi pun mustahak.

“Sejarahnya Umno -BN pernah tidak boleh membentuk kerajaan di Kelantan hanya kerana BN kurang 2 undi. Peristiwa ini mesti menjadi pengajaran, apatah lagi dengan landskap politik yang begitu dinamik.

“Saya sayangkan Umno dan kerana itu saya percaya Umno sangat menghormati dan menjaga rakan komponen yang lain demi kekuatan BN dan Umno itu sendiri.
Cukuplah kita hilang rakan komponen selepas PRU14, dan jangan BN hilang lagi rakan komponen,” rayu Ahli Parlimen Lenggong itu.

Dalam situasi politik begini kata beliau, kita mesti membina kekuatan dan jangan sesekali membina situasi yang menambahkan kelemahan kita.

“BN parti politik yang telah begitu lama di negara ini, berpengalaman, dan sudah melalui pelbagai ujian. BN bukan sebuah gabungan parti politik yang baru.

“Justeru itu, pada saya siapapun tidak kiralah daripada parti mana sekali pun. Elakkanlah membuat kenyataan yang boleh merenggangkan keakraban, saling hormat menghormati serta persefahaman yang telah dibina sejak zaman dulu lagi.

“Saya berkeyakinan Pengerusi BN Datuk Seri Zahid Hamidi mempunyai kebijaksanaan bagi menyelesaikannya.

“Dan percayalah apa juga perkara boleh diselesaikan jika kita duduk bersama dan berbincang,” nasihat beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat