Dituduh sepupu kepada Pengetua SMKA Tun Datu Mustapha, Fadhlina lapor polis, MCMC

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung komen di media sosial mengaitkan beliau dengan pengetua sekolah Zara Qairina Mahathir, pelajar Tingkatan Satu yang meninggal dunia di Sabah pada Julai.

“Akhir-akhir ini banyak sekali fitnah direkayasa secara liar, jahat dan menyebarkan kebencian.

“Terkini, ada beberapa individu yang cuba mengaitkan saya dengan Pengetua SMKA TDM.

“Setakat tepis dan nafi, ternyata tidak menjadi pengajaran. Apatah lagi fitnah itu mengaitkan arwah ibu saya yang sudah tiada di dunia ini untuk mempertahankan dirinya,” bidas Fadhlina di Facebook, semalam.

Kata beliau, fitnah yang ditaja secara jahat dan disebarkan telah memberikan implikasi kepada masyarakat.

“Saya telah membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkenaan fitnah ini.

“Tindakan undang-undang juga akan diambil. Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua pihak.

“Saya menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi. Hormati keluarga Allahyarham Zara Qairina dan beri ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Jika keadilan itu yang kita cari, maka ia harus ditegakkan dengan paksi kebenaran. Sesungguhnya keadilan itu sangat dekat dengan takwa,” ujar Menteri Pendidikan itu.

Fadhlina turut mengemukakan tangkap layar komen seorang pengguna Facebook yang mendakwa Fadhlina dan Pengetua sekolah Zara Qairina adalah sepupu sekali gus menuduh mereka bersubahat.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat