KUALA LUMPUR – Harga minyak meningkat susulan Doha, ibu negara Qatar, menjadi sasaran serangan udara oleh Israel dengan alasan menyerang pemimpin Hamas.
Setakat pagi ini, harga minyak mentah Brent naik 0.56 peratus kepada AS$66.39 setong, manakala minyak mentah WTI mencatat kenaikan 0.54 peratus kepada AS$62.97 setong.
Ketua Analisis Geopolitik Rystad Energy, Jorge Leon, menyifatkan tindakan Israel itu sebagai satu lagi langkah yang memburukkan ketegangan di Asia barat.
Beliau menjelaskan risiko penularan krisis ke seluruh rantau semakin nyata, bergantung kepada tindak balas Qatar, yang juga sekutu rapat Amerika Syarikat dan anggota utama Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
“Tindakan Qatar seterusnya akan membentuk trajektori dinamik serantau,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Jorge turut memberi amaran impak serangan ini bakal memperhebatkan ketegangan bukan sahaja di rantau Teluk tetapi juga melangkaui wilayah tersebut, mencerminkan keadaan genting yang sedang berlaku.
Beliau berkata, rundingan yang melibatkan pihak Hamas, yang sebelum ini sudah goyah, kini kelihatan semakin tertutup dan mengaburkan prospek penyelesaian krisis dalam masa terdekat.
Sementara itu, Qatar mengecam serangan udara Israel yang menyasarkan bangunan kediaman beberapa anggota Biro Politik Hamas di Doha, lapor Utusan pada Rabu.
Qatar menganggap tindakan itu sebagai pelanggaran terang-terangan undang-undang dan norma antarabangsa serta ancaman serius terhadap keselamatan rakyat Qatar dan warga asing di negara tersebut.



