Istana Budaya buka pintu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk industri kreatif, Istana Budaya (IB) yang terkesan dengan impak penularan pandemik COVID-19, mengaktifkan semula kalendar acara dengan mementaskan tujuh program, mulai bulan depan.

Ketua Pengarah IB, Zaiton Md Desa, berkata pihaknya teruja dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri

Ismail Sabri Yaakob berhubung kelonggaran SOP untuk industri kreatif, mulai semalam.

“Kelonggaran SOP di IB membabitkan program persembahan teater, muzikal, tari dan komedi secara langsung iaitu melalui kaedah pra-daftar dengan penonton yang lengkap dua dos vaksin COVID-19.

“Selain itu, setiap persembahan perlu memenuhi kapasiti 30 peratus ruang premis,” katanya dalam kenyataan.

Selasa lalu, kerajaan mengumumkan kelonggaran SOP Fasa Satu PPN bagi industri kreatif, berkuat kuasa semalam.

Keputusan itu yang dibuat berdasarkan perbincangan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19, minggu lalu, diharapkan dapat memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja, dengan tertakluk kepada SOP digariskan termasuk lengkap vaksinasi.

Perdana Menteri dilaporkan berkata kelonggaran itu bakal memberi kelegaan kepada lebih 19,000 syarikat berkaitan industri kreatif.

Zaiton berkata, pihaknya akan memastikan kakitangan IB seperti bahagian pengurusan produksi, kru pentas, teknikal, penyambut tetamu dan sebagainya mencapai kelompok berstatus vaksin COVID-19 lengkap bagi menjamin keselamatan penonton dan pihak lain yang berurusan.

“Selain itu, kakitangan IB yang masih bertugas sebagai Sukarelawan MyVAC di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan kembali bertugas selepas kadar pemberian vaksin negara mencapai sasaran,” katanya.

 

Ketua Pengarah IB, Zaiton Md Desa.
Ketua Pengarah IB, Zaiton Md Desa.

 

Zaiton berkata, sebelum pengumuman mengenai kelonggaran SOP dibuat, pihaknya sudah merancang dan membuat persediaan mementaskan tujuh program muzik sama ada secara rakaman atau langsung.

“Program itu termasuk Konsert Rentak Kita, Konsert Patriotik Tanah Airku, Konsert NSO bersama Bintang dan Gamelan Gema Gangsa.

“Tidak ketinggalan, Wayang yang berkisar warisan tradisional wayang kulit,” katanya.

Sehubungan itu, tambah Zaiton, sehingga akhir tahun ini, IB akan mengisi ruang persembahan dengan program terbitan dalaman sendiri secara langsung yang dijangka bermula Oktober depan.

“Ini berikutan kebanyakan program yang dirancang sebelum ini terpaksa ditunda atau dibatalkan.

“Malah, sempena program Sambutan Bulan Kebangsaan 2021 mulai 16 Ogos lalu, IB akan meneruskan program Semarak Merdeka Istana Budaya yang dijadualkan sehingga 16 September ini secara dalam talian,” katanya.

Zaiton berkata, pada akhir sambutan dan sempena Hari Malaysia 2021, tayangan khas persembahan iaitu COM – Semarak Merdeka Istana Budaya 2021 Orkestra Tradisional Malaysia akan disiarkan mengikut segmen bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam di laman media sosial IB.

“Diharapkan video yang dihasilkan dapat memberi maklumat dan pendedahan yang boleh dijadikan rujukan serta menarik minat masyarakat untuk terus mengikuti program IB secara dalam talian,” katanya.

Diasaskan untuk menaikkan taraf seni pentas, membangunkan kecemerlangan artistik dalam seni teater, menghasilkan persembahan teater berkualiti tinggi serta menaikkan minat dan penghargaan orang ramai terhadap seni artistik.

Dianggap pusat persembahan seni ikonik, projek pembinaan IB di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur bermula pada 1995 dan siap empat tahun kemudian.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat