PRN: Polis Perketat Kawalan Keselamatan Istana, Kompleks Kerajaan Negeri – KPN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketat kawalan keselamatan di lokasi-lokasi strategik termasuk di istana negeri yang berkemungkinan menjadi tumpuan pihak tertentu sebaik keputuan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diumumkan Sabtu ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata langkah itu adalah untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di lokasi-lokasi strategik berkenaan terjamin selepas pasca-PRN.

Beliau berkata keselamatan di sesebuah istana itu amat penting kerana PDRM tidak mahu sebarang gangguan terhadap istana pada tengah malam sebaik keputusan diumumkan.

“Kami tidak mahu istana atau sultan di negeri diganggu tengah-tengah malam untuk (pimpinan kerajaan negeri yang baharu) angkat sumpah.

“Kami (PDRM) akan memastikan peralihan kepimpinan sesebuah kerajaan negeri berlangsung dalam keadaan aman berdasarkan Perlembagaan,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Razarudin berkata sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri melibatkan enam negeri dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN ini, PDRM telah membuat persiapan penugasan sebelum hari penamaan calon, undi awal dan tempoh kempen bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata sebanyak 36,492 pegawai dan anggota polis yang bersedia mengawasi perjalanan PRN kali ini disertai oleh antaranya Polis Simpanan Persekutuan, Pasukan Gerakan Udara dan Pasukan Gerakan Am.

“Ini termasuklah menjaga dan mengangkat peti undi untuk disimpan di dalam lokap-lokap yang telah dikosongkan,” katanya.

Selain itu, Razarudin juga memberi jaminan keselamatan kepada semua pihak termasuk calon-calon PRN, penyokong dan pengundi untuk keluar mengundi tanpa rasa takut.

“Saya tahu ketika ini, PDRM sedang bertugas pada PRN sehinggalah pasca-PRN, saya hendak mereka ini (calon, penyokong dan pengundi) keluar mengundi tanpa rasa disekat atau dihalang.

“Saya sebagai KPN dan Timbalan saya Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua-Ketua Polis Negeri dan Ketua-Ketua Polis Daerah di enam negeri PRN ini telah bersedia dan anda boleh keluar mengundi dengan selamat,” katanya.

Razarudin berkata memandangkan ada pusat-pusat pengundian yang ditempatkan di beberapa sekolah di negeri-negeri yang mengadakan PRN, dijangka berlaku kesesakan trafik, namun pihaknya akan mengawal keadaan itu.

“Pengundi-pengundi tidak perlu rasa risau akan kesesakan trafik di sekolah-sekolah berhampiran kerana ada polis trafik yang akan mengawal kesesakan lalu lintas pada Sabtu ini,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pengundian bagi PRN di enam negeri serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu pada 12 Ogos ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari hingga 11.59 malam pada 11 Ogos. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat