Hutang perlu dibayar, Syahir tak setuju Kelantan minta hapus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman tidak bersetuju langkah Kerajaan Kelantan memohon supaya Kerajaan Persekutuan menghapuskan hutang negeri itu.

Hal ini tegas Syahir, secara prinsipnya umum maklum hutang perlu dibayar namun dari segi tempoh pembayaran mungkin boleh dirunding semula mengikut budi bicara Kerajaan Persekutuan.

“Hutang secara asasnya wajib dibayar, itu secara asasnya. Kita kena setuju bahawa tidak ada hutang yang boleh dimansuh dan tak ada janji untuk mansuhkan hutang PTPTN pun tak boleh kita percaya. Maknanya hutang ini secara asasnya perlu dibayar.

“Bagaimanapun, hubungan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, negeri sebagai anak ada masa-masa tertentu mereka perlukan bantuan kewangan kerana ada masa-masa tertentu sumber pendapatan kerajaan negeri itu tidak cukup pada bulan tersebut jadi perlu kepada ‘soft loan’.

“Dalam akaun kerajaan Persekutuan akan disenaraikan hutang kerajaan-kerajaan negeri. Contohnya, kerajaan negeri bulan 1,2, 3 kena bayar gaji mungkin hasil mereka mungkin masuk bulan 4,5, 6.

“Bayaran royalti Kelantan yang ditangguh-tangguh dan dinafi-nafi itu, kata 5 peratus tak ada, 20 peratus apatah lagi, jadi ini adalah asasnya” bidas Syahir dalam Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, malam tadi.

Hal demikian, kata beliau merujuk permintaan daripada Kelantan beliau berpegang kepada prinsip yang sama iaitu hutang perlu dibayar.

“Tetapi anak dengan ayah punya hubungan itu mungkin ada pertimbangan. Mungkin kita boleh tangguh-tangguhkan, biasalah kita kena bayar tapi kita boleh refinancing atau kita adjust mortgage itu biasa, bukan dengan ayah saja, dengan bank pun boleh buat.

“Kerajaan Persekutuan sebagai ayah kepada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan pula dengan Bank Negara Malaysia(BNM) juga menerbitkan bon yang disubscribe oleh institusi seperti PNB, Tabung Haji dan lain-lain menggunakan deposit caruman rakyat, jadi itulah kitaran hutang yang berlaku dalam negara kita.

“Jadi secara prinsip saya kira, hutang perlu dibayar dan sebagai Kerajaan Persekutuan jika ada ruang-ruang untuk pertimbangan tengok kepada anak kita ni, mungkin bulan tu putus duit, mungkin bulan depan baru ada duit kita boleh bagi yang penting kena bayar dan kita bincang dari segi tempoh masa pembayaran,” syor Syahir.

Susulan jawapan yang dikemukakan Ahli Parlimen Bachok itu, Rafizi menghargainya malah bersetuju dengan prinsip yang dipegang Syahir.

“Saya berterima kasih maksudnya dalam mesyuarat dengan Kerajaan Kelantan lepas ini boleh maklumkan bahawa pimpinan muda di Parlimen Bachok tidak walak dengan kerajaan PAS kerana dia kata hutang kena bayar,” ujar Timbalan Presiden PKR itu.

Sebelum ini media melaporkan, Rafizi mendakwa Kerajaan Negeri Kelantan memohon supaya Kerajaan Persekutuan menghapuskan hutang berkaitan air berjumlah RM275 juta.

Dakwa beliau lagi, permohonan itu disekalikan dalam perbelanjaan tambahan RM50 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat