Pati Warga Indonesia Bayar Ejen Sehingga RM4,000 Untuk Masuk Ke Malaysia

- Advertisement -

MANJUNG – Seramai 61 pendatang asing tanpa izin (Pati) dipercayai warga Indonesia termasuk tujuh wanita yang cuba masuk ke negara tanpa permit menggunakan bot ditahan di kedudukan 2.5 batu nautika dari Pulau Talang, di sini, hari ini.

Difahamkan, semua pati terbabit sanggup duduk berhimpit dalam bot tanpa nombor pendaftaran itu sejak berlepas dari negara asal, Isnin lalu.

Penahanan pada jam 2.15 pagi itu turut membabitkan tiga lelaki senegara iaitu tekong bot dan dua pembantu bot berusia 39 hingga 40 tahun.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, penahanan itu dilakukan oleh sepasukan anggota daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh dengan turut dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Menurutnya, pihaknya menahan seramai 54 lelaki dan tujuh wanita dipercayai tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dari negara jiran.

“Turut ditahan seorang tekong bot dan dua pembantunya. Kesemua tahanan itu dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Kampung Acheh, Sitiawan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Azizi berkata, siasatan awal mendapati kesemua pati berkenaan dikenakan bayaran antara RM800 hingga RM4,000 kepada ejen di negara mereka bagi menyusup masuk ke negara ini.

“Tekong bot turut mengaku mereka berlepas dari negara asal menuju ke Pulau Angsa dan Sekinchan, Selangor,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Sekyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012.

“Kejayaan ini adalah hasil maklumat dan kerjasama yang diberikan orang awam kepada pihak polis.

“Justeru, pihak polis berterima kasih dan mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan dengan menghubungi Balai Polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di talian 05-2401999 atau 05-2451073,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat