Malaysia Digital, usaha kerajaan merancakkan ekonomi digital negara

- Advertisement -

Malaysia sekali lagi mengorak langkah ke hadapan dengan melancarkan Malaysia Digital (MD) sebagai usaha merancakkan lagi ekonomi digital negara.

Dilancarkan pada 4 Julai lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), MD berfungsi berpandukan tiga prinsip utama iaitu Fleksibiliti, Ketangkasan dan Relevansi.

Meskipun baru dilancarkan, MD telah pun mempunyai projek pemangkin yang diberi nama Mangkin MD atau PEMANGKIN yang berfungsi secara holistik bagi mentransformasikan ekosistem ekonomi digital negara.

Proses transformasi ekosistem ekonomi digital negara itu akan menerusi tiga keutamaan strategik iaitu yang pertama membantu memacu adaptasi digital dalam kalangan usahawan muda, syarikat dan rakyat. Yang kedua, menyokong syarikat teknologi tempatan menjadi ‘Juara Malaysia’ di peringkat antarabangsa dan yang ketiga menarik pelaburan bernilai tinggi.

Dalam program pelancaran yang turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) Tan Sri Tpr Annuar Musa, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa dua PEMANGKIN akan diperkenalkan iaitu program DE Rantau dan Digital Trade.

Program DE Rantau bertujuan menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan di rantau ini melalui peningkatan penggunaan digital, mobiliti profesional digital dan aktiviti pelancongan di seluruh negara.

“Aktiviti nomad digital di dalam negara akan memberi kesan limpahan yang bukan sahaja membantu memulihkan semula sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik, malah akan merancakkan aktiviti perniagaan dan ekonomi tempatan di samping membuka peluang perkongsian pengetahuan serta pengalaman bersama komuniti setempat,” kata Ismail dalam ucapan pelancarannya.

Program Digital Trade pula berperanan memacu e-Dagang dan adaptasi digital oleh perniagaan. Malah ia juga bertujuan bagi memudahkan perdagangan merentas sempadan dan ia selaras dengan Pelan Hala Tuju Strategik E-Dagang Kebangsaan (NESR).

Digital Trade juga bertujuan menyokong pergerakan data yang lancar antara perniagaan bagi meningkatkan kecekapan, ketepatan dan kebolehpercayaan transaksi merentas sektor dan industri.

“Menerusi penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau atau RCEP, program ini akan mempermudah jangkauan yang lebih luas ke pasaran global dan ini akan memberi manfaat besar kepada perniagaan tempatan khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS),” kata Ismail lagi.

PEMANGKIN dalam sektor pertanian juga telah melaksanakan 10 projek printis Digital AgTech untuk membantu para petani mengadaptasi teknologi digital bagi meningkatkan hasil dan dapat membantu mengurangkan kos operasi.

Melalui rangka kerja MD yang baharu, Kerajaan juga telah menganugerahkan Status MD kepada enam syarikat kelompok pertama, iaitu:

1. Bytedance System Sdn. Bhd.
2. Bridge Data Centres Malaysia (III) Sdn. Bhd.
3. GDS IDC Services (Malaysia) Sdn. Bhd.
4. Abbott Laboratories (Malaysia) Sdn. Bhd.
5. Aceteam Connect Sdn. Bhd.
6. Peninsula Apex Technologies Sdn. Bhd.

Bagi memastikan pelaksanaan MD lebih berkesan, Kabinet juga telah bersetuju agar K-KOMM menubuhkan Jawatankuasa Koordinasi Malaysia Digital atau MD-CC yang bertujuan menyelaraskan tadbir urus dan operasi seperti penganugerahan Status MD.

Selari dengan aspirasi dan inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi, Kerajaan turut mewujudkan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di seluruh negara yang dilengkapi akses perkhidmatan jalur lebar dan kemudahan infrastruktur digital.

Sehingga Disember 2020, terdapat 2,700 buah syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai MSC yang aktif dari dalam dan luar negara.

MSC Malaysia juga telah berjaya mentransformasi dan mempelbagaikan ekonominya daripada berasaskan pertanian, komoditi dan industri kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi komunikasi maklumat (ICT).

Pandemik COVID-19 memberi impak kepada kehidupan manusia serta menjejaskan ekonomi negara, namun kerajaan amat fokus dalam melaksanakan pelbagai inisiatif memulihkan ekonomi dengan segera.

Ekonomi digital Malaysia telah mencapai 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun lalu dan ia dijangka berkembang melepasi sasaran awal sebanyak 25.5 peratus menjelang 2025.

Antara sektor yang pesat berkembang ialah e-Dagang yang menyumbang sebanyak 11.5 peratus kepada KDNK pada 2020 berbanding 8.5 peratus pada 2019.

Nilai transaksi e-Dagang negara juga telah mencecah RM1 trilion buat pertama kalinya tahun lepas, meningkat sebanyak 21.8 peratus berbanding 2020.-SUARATV

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat