KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Rozi Mamat secara peribadi melihat belum ada kepemimpinan Pas yang mampu menggantikan Presiden parti itu Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Menurut Rozi, Hadi dilihat masih sangat diperlukan bagi menerajui pucuk pimpinan Pas ketika ini.
“Saya sebenarnya tidak berhasrat mana hendak mengulas pun, sebab ini parti orang, bukan parti kita (Umno). Setakat ini saya rasa kepemimpinan Pas, tidak nampak siapa yang boleh menggantikan beliau dan ini pendapat peribadi saya, bukan parti.
“Kepimpinan beliau hari ini payah lagi orang lain hendak tandingi dan bagi saya dia masih diperlukan. Biasalah dalam politik ada orang yang nak, begitu juga sebaliknya,” katanya ketika diminta mengulas desas-desus Hadi dikatakan memberi bayangan berundur, lapor Utusan di Hulu Terengganu.
Rozi memberitahu lagi, beliau juga sudah agak lama tidak berjumpa Hadi dan tidak mengetahui tahap kesihatan sebenar Ahli Parlimen Marang itu.
Terdahulu, Hadi seakan memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan Presiden Pas dan hasrat itu dikatakan disampaikan kepada barisan kepemimpinan tertinggi dalam satu retreat parti diadakan di Hotel Primula, Terengganu.