KUALA LUMPUR – Pas merayu agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memindahkan peruntukan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang yang berjumlah RM17.3 bilion kepada menaikkan taraf Lebuhraya Timur Barat dari Gerik ke Jeli.
Gesaan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Dr Mohd Zuhdi Marsuki disambut Ahli Dewan Negara Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Kata Nik Abduh, tiada siapa boleh menafikan bahawa naik taraf dan tambah baik yang lebih menyeluruh ke atas lebuh Raya Timur Barat (Jeli-Gerik) adalah amat mendesak.
“Bukan baru dan bukan sedikit Ahli Parlimen yang telah membangkitkannya di Parlimen. Lama dan ramai.
“Laporan menunjukkan bahawa 70 peratus laluannya adalah berisiko. Saya fikir sudah tiba masanya kerajaan menamatkan penantian lama ini demi nyawa, keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Jadikannya seperti laluan Karak-Gombak atau lebih baik.
“Tangguhkan dulu projek-projek yang lebih bersifat memewahkan lagi kawasan-kawasan yang telah sedia maju dan cukup kemudahannya,” desak Nik Abduh.