Hukuman mati mandatori dimansuhkan- Wan Junaidi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada Mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin.

Wan Junaidi dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, kerajaan juga secara prinsipnya menerima serta mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian itu.

“Jemaah Menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), serta 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.

“Kajian lanjut ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain kementerian dan jabatan berkepentingan.

“Tindakan ini amat signifikan bagi memastikan pindaan akta-akta yang berkaitan mengambil kira prinsip ‘proportionality’ serta keperlembagaan (constitutionality) mana-mana cadangan kepada kerajaan nanti,” katanya memetik laporan Bernama.

Selain itu, Wan Junaidi memaklumkan, kerajaan juga akan mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah di negara ini.

Antaranya, pewujudan prosedur pra-penghukuman, penubuhan Majlis Penghukuman, pembangunan Garis Panduan Penghukuman, penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang, pembaharuan institusi kepenjaraan, dan pelaksanaan hukuman berdasarkan ‘restorative justice’.

Beliau menjelaskan, keputusan berkaitan perkara itu menunjukkan keutamaan kerajaan untuk memastikan hak semua pihak adalah terpelihara dan terjamin.

“Ia sekali gus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara ini dalam menambah baik sistem keadilan jenayah negara yang serba dinamik,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen diberikan Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori, dalam penghasilan laporan kajian itu yang menjadi asas kepada perubahan sistem keadilan jenayah negara yang lebih sistematik dan efektif.

Jawatankuasa itu diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum, dan dianggotai pakar dalam bidang perundangan meliputi bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguam Cara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang dari institusi pengajian awam terkemuka, serta pakar kajian jenayah.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, turut kongsikan kenyataan Wan Junaidi berkenaan menerusi akaun Twitter beliau, hari ini.

“Kabinet bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia. Undang-undang berkaitan akan dipinda,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat