RISDA Sasar 75 Peratus Pekebun Kecil Terima Vaksin

- Advertisement -

JEMPOL – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menganggarkan 75 peratus daripada 552,543 pekebun kecil di seluruh negara untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Pengerusinya, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata, sebanyak 55 peratus pekebun kecil sudah mendaftar bagi mendapatkan vaksin berkenaan.

“RISDA juga akan berusaha membawa pekebun kecil untuk membuat pendaftaran di 191 Pusat Komuniti Desa (PKD) yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebagai alternatif pusat pendaftaran vaksin.

“Bagi tujuan suntikan, RISDA akan mengerahkan seluruh asetnya untuk membawa pekebun kecil terutama mereka yang berusia 50 hingga 70 tahun untuk dibawa ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terdapat di 382 lokasi di seluruh negara,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, menjadi tanggungjawab pihaknya memastikan pekebun kecil tidak terjejas teruk akibat penularan COVID-19.

Pihaknya turut bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan sekiranya terdapat keperluan untuk menggunakan fasiliti bangunan RISDA bagi tujuan dijadikan sebagai pusat kuarantin mahupun PPV.

Jelas beliau, aset RISDA seperti van juga akan digunakan bagi memudahkan urusan vaksinasi pekebun kecil dari seluruh negara.

Mengulas mengenai Orang Asli yang turut menjadi pekebun kecil RISDA, beliau berkata, mereka akan didaftarkan sebagai penerima vaksin menerusi program diadakan secara bersama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Beliau berkata kebanyakan mereka yang menyertai projek Tanaman Semula Berkelompok kendalian RISDA itu akan turut diberi perhatian bagi menerima vaksin.

“Kita akan permudahkan urusan mereka bagi pendaftaran vaksin, selain mempertimbangkan pemberian vaksin dengan hadir ke perkampungan mereka,” katanya ketika ditemui pada Program Suntikan Vaksin Pekebun Kecil di PPV Dewan Pejabat Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat