KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pihak pembangkang kini mempunyai sokongan teguh daripada 107 ahli Parlimen.
Katanya, biar pun buat masa ini pembangkang mempunyai majoriti yang kurang daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), namun kedudukannya terus kukuh.
“Kita capai satu persetujuan apa pun strategi kita harus bersama, dan pembangkang harus teguh dengan pendirian mereka, sekarang 107 ahli Parlimen sokong gabungan PH.
“Kita akan mara ke hadapan dalam satu pasukan untuk pastikan mandat rakyat dihormati dan kecelaruan, rasuah itu dihentikan,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu ketika bersiaran langsung di Facebook rasminya, hari ini.
- Rancang Ambil Alih Kerajaan, Mahathir dan Anwar Bertemu Petang Ini
- DAP Mahu Mahathir, Anwar Bekerjasama Lawan Muhyiddin dan Najib
- Mesyuarat PH Tegang Kerana Ada Orang Nak Mahathir Jadi PM Selamanya – Anwar
Anwar semalam mempengerusikan mesyuarat peringkat nasional di ibu pejabat PKR dengan dihadiri bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mesyuarat itu turut dihadiri Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal bersama-sama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Mesyuarat itu dikatakan membincangkan isu calon Perdana Menteri PH dalam merampas kembali Putrajaya daripada tangan PN.
PH pada Jumaat lalu kehilangan satu kerusi Parlimen apabila Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang, mengumumkan keluar PKR dan menyatakan sokongan kepada PN.
Jugah berkata beliau kini menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Jugah memenangi kerusi Parlimen Lubok Antu sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sejurus selepas PRU-14, penyokong beliau beramai-ramai menyertai PKR dan Jugah kemudian turut menyertai parti itu.