Malaysia Mara Suku Akhir Piala Thomas 2022

- Advertisement -

PETALING JAYA – Malaysia mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir dalam kejohanan Piala Thomas 2022 selepas cemerlang menewaskan Amerika Syarikat (AS) 5-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan D sebentar tadi.

Walaupun menurunkan skuad ‘kedua’ menentang AS, wakil negara yang diketua Liew Daren selaku perseorangan pertama tidak berdepan masalah untuk menghadiahkan kemenangan kedua kepada Malaysia di Impact Arena, Bangkok.

Daren yang berumur 35 tahun diturun bagi menggantikan perseorangan utama negara, Lee Zii Jia yang direhatkan menjelang pertemuan menentang Jepun esok tidak berdepan masalah menewaskan Enrico Asuncion 21-13 21-16.

Pemain No. 34 dunia menampilkan aksi bertenaga untuk menguasai keseluruhan permainan sekali gus membuktikan pemilihanya dalam pasukan Piala Thomas adalah tepat walaupun ada segelintir pihak yang tidak bersetuju kerana faktor usia.

Mata kedua negara pula disumbangkan Ng Tze Yong yang menewaskan Don Henley Averia 21-11 21-9 dalam masa 30 minit, pemain muda negara itu diturunkan buat kali kedua dalam kejohanan itu selepas turut membantu kemenangan 5-0 Malaysia ke atas England kelmarin.

Aidil Sholeh Ali Sadikin yang diturunkan selaku perseorangan ketiga negara mengesahkan kemenangan Malaysia ke atas AS apabila berjaya menundukkan William Hu untuk menjadikan kedudukan 3-0

Pada mulanya, Aidil Sholeh yang menghuni ranking No.100 dunia itu kelihatan agak gementar pada awal permainan sebelum kembali mendapat rentak untuk menundukkan perseorangan ketiga AS itu 21-16, 21-17 dalam masa 30 minit.

Sementara itu, Chia Wei Jie yang dipilih untuk bergandingan dengan Goh Sze Fei berjaya menyumbangkan mata keempat negara untuk menjadikan kedudukan 4-0 selepas mereka menidakkan cabaran beregu pertama AS.

Wei Jie dan Sze Fei hanya memerlukan masa 22 minit untuk menang 21-12, 21-8 ke atas Adrian King- Henry Tang.

Manakala gandingan beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi melengkapkan kemenangan 5-0 Malaysia apabila menewaskan Enrico Asuncion-William Hu 21-16, 21-8 dalam masa 22 minit.

Malaysia turun menentang Jepun dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan D esok dengan pertembungan itu bakal menyaksikan pasukan mana bergelar juara dan naib juara kumpulan. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat