KUALA LUMPUR – Sempena ulang tahun ke-76 UMNO, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap parti itu terus kukuh memayungi dan melindungi seluruh masyarakat di negara ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, hari ini genap 76 tahun UMNO menjadi sebuah wadah perjuangan orang Melayu dan nakhoda yang senantiasa menabur bakti kepada seluruh masyarakat tanpa mengira kaum.

“Semoga UMNO terus kukuh memayungi dan melindungi seluruh masyarakat di negara ini.

“Kepada seluruh ahli UMNO, bersama-sama kita meneruskan perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air,” ucap Perdana Menteri.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin pula mendedikasikan ucapan tahniah dan terima kasih ditujukan kepada semua pemimpin dan ahli-ahli UMNO dari semua lapisan dan di pelbagai peringkat.

Jelasnya ucapan penghargaan itu kerana komitmen, sumbangan dan kesetiaan tidak berbelah bahagi merekalah hari ini UMNO dapat menyambut ulang tahunnya yang ke 76, dan menyambutnya dalam keadaan UMNO masih kekal, segar dan berdaya tahan.

“Mereka semua inilah, di saat UMNO di atas dan berkuasa, di saat UMNO jatuh dan hilang segala-galanya, mereka kekal sebagai pendukung kuat parti ini.

“Adalah diharapkan mereka sentiasa dalam perlindungan Allah SWT agar dapat terus menyumbang dan menjadi nadi kepada UMNO ini, amin,” kata beliau.