KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli mengemukakan surat tunjuk sebab kedua kepada partinya dengan menjawab beberapa pertuduhan lengkap dengan keterangan kepada Lembaga Disiplin PKR.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu berharap Lembaga Disiplin membuat keputusan yang tegas, cepat dan tidak lagi melengah-lengahkan perkara ini kerana rakyat sudah mual.
“Jika penjelasan saya itu dikira telah melanggar Perlembagaan parti, jadilah seperti sebuah parti yang normal dan tidak songsang dengan mengambil tindakan memecat, seperti yang telah dibuat kepada anggota-anggota parti lain yang dikenakan pertuduhan disiplin sebelum ini,” katanya dalam surat tunjuk sebab berkenaan.
Bekas Menteri Ekonomi itu memaklumkan, beliau telah menerima surat tunjuk sebab yang terbaru daripada PKR bertarikh 9 April 2026.
Susulan itu beliau mengemukakan jawapan balas antaranya, -𝗣𝗲𝗿𝘁𝘂𝗱𝘂𝗵𝗮𝗻 𝗽𝗲𝗿𝗲𝗻𝗴𝗴𝗮𝗻 (𝟮.𝟭)- teguran itu (yang bermakna presiden atau mana-mana kepimpinan tertinggi parti tidak boleh membudayakan amalan bodek) bukanlah teguran baru.
“Saya selalu menyebutnya secara berdepan dengan presiden parti dalam ucapan-ucapan saya di kongres parti sebelum ini. Rakaman-rakaman teguran saya mengenai budaya bodek yang menyubur di dalam parti ini berlegar meluas di media sosial.
“Jika sebelum ini teguran saya disambut oleh presiden dengan senyuman dan secara terbuka sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, sewajarnya ingatan saya itu, yang berpuluh tahun mengambil risiko untuk mempertahankan beliau dan keluarga beliau sehingga beliau menjadi Perdana Menteri, juga disambut dengan tawaduk selepas beliau menjadi Perdana Menteri.
“Manakala dalam 𝗣𝗲𝗿𝘁𝘂𝗱𝘂𝗵𝗮𝗻 𝗽𝗲𝗿𝗲𝗻𝗴𝗴𝗮𝗻 (𝟮.𝟮)- perhimpunan itu dianjurkan oleh sekumpulan aktivis anak muda yang memanggil diri mereka Sekretariat Tangkap Azam Baki. Ia tidak dianjurkan oleh saya, seperti yang dituduh di dalam surat tunjuk sebab.
“Perhimpunan itu tidak berbeza dari Perhimpunan Bersih yang dianjurkan oleh kumpulan bukan partisan dan menjemput tokoh pelbagai bidang (termasuk ahli politik) untuk berucap.
“Sebelum ini sebelum menjadi kerajaan persekutuan, ramai pimpinan parti, termasuk presiden sendiri, yang berucap di himpunan-himpunan seperti ini dan berucap mengenai isu tata kelola negara.
“Tindakan presiden sebagai Perdana Menteri yang menyambung kontrak Tan Sri Azam Baki (selepas bersara) selama tiga kali telah mengundang kritikan rakyat.
Presiden juga dilaporkan secara meluas mempertahankan Tan Sri Azam Baki apabila media mengajukan soalan terhadap beliau, semasa skandal pemilikan saham ini dibocorkan oleh Bloomberg dan Malaysiakini.
“Oleh itu, kritikan bahawa presiden mempertahankan Tan Sri Azam Baki yang terpalit dalam skandal bukanlah satu implikasi dari ucapan saya tempoh hari diperhimpunan tersebut. Ia berpunca dari tindakan-tindakan presiden sendiri,” jelas Rafizi.
Sementara itu dalam 𝗣𝗲𝗿𝘁𝘂𝗱𝘂𝗵𝗮𝗻 𝗽𝗲𝗿𝗲𝗻𝗴𝗴𝗮𝗻 (𝟮.𝟯) Rafizi menyatakan, serangan-serangan peribadi dan caci maki terhadap saya seperti “sotong”, “pondan”, fitnah-fitnah dan seumpamanya dihamburkan setiap hari oleh pimpinan-pimpinan parti, termasuklah oleh ketua-ketua cabang parti sendiri. Contoh yang paling jelas ialah caci maki yang dibuat oleh Ketua Cabang Paya Besar.
“Ucapan-ucapan presiden di konvensyen-konvensyen negeri, walaupun tidak menyebut nama saya, jelas merujuk kepada saya dan selari dengan serangan yang dibuat oleh pemegang-pemegang jawatan dalam parti seperti Ketua Cabang Paya Besar itu.
“Malah, tidak keterlaluan jika ada orang ramai yang menyimpulkan bahawa serangan pimpinan parti di bawah ini mengikuti isyarat dari ucapan-ucapan presiden sendiri.
“Sehingga sekarang, presiden atau kepimpinan parti tidak memberikan arahan atau nasihat supaya serangan itu janganlah sehingga memaki hamun seperti yang dibuat oleh Ketua Cabang Paya Besar itu.
“Maka, pandangan orang ramai yang merasakan presiden parti membenarkan penyokong-penyokong beliau berkelakuan begitu adalah pandangan yang adil.
Dalam 𝗣𝗲𝗿𝘁𝘂𝗱𝘂𝗵𝗮𝗻 𝗽𝗲𝗿𝗲𝗻𝗴𝗴𝗮𝗻 (𝟮.𝟰) pula, beliau menjelaskan, kenyataan itu banyak berkisar kepada laporan-laporan mengenai perilaku presiden berhubung beberapa orang tertentu, terutamanya Farhash Wafa Salvador dan R Ramanan.
“Dakwaan bahawa presiden parti selaku Perdana Menteri mengarahkan SPRM untuk tidak menyiasat Farhash Wafa Salvador dilaporkan oleh Bloomberg.
“Sehingga kini, presiden parti tidak mengambil tindakan saman terhadap Bloomberg mengenai laporan itu.
“Saya telah menamakan secara terbuka bahawa R Ramanan adalah ahli parlimen dari parti ini yang menerima rasuah sebanyak RM9.5 juta seperti yang didakwa oleh Victor Chin dalam skandal mafia korporat. Sehingga kini, R Ramanan tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap saya.
“Presiden parti, selaku Perdana Menteri tidak mengarahkan sebarang siasatan atas dakwaan rasuah RM9.5 juta itu dan tidak mengarahkan R Ramanan bercuti dari jawatan sehingga siasatan itu selesai.
“Media CNA pula melaporkan bahawa presiden parti telah campur tangan dalam perebutan untuk mengawal NexG Berhad dan mengarahkan Farhash Wafa Salvador tidak meneruskan hasratnya mengambil alih NexG melalui proksinya. Sehingga kini, presiden parti tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap CNA.
“Seorang yang waras, berprinsip dan ada naluri ingin mencari kebenaran, boleh membuat kesimpulan bahawa individu-individu seperti Farhash Wafa Salvador dan R Ramanan mempunyai pertalian yang sangat rapat dengan presiden parti dan terlindung dari tindakan-tindakan yang akan dikenakan kepada orang lain, sekiranya orang lain itu terpalit dalam tuduhan-tuduhan yang saya sebut di atas,” ujar Rafizi.



