Oleh Zihan Zari
TANAH MERAH – Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menahan empat Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Myanmar yang cuba menyeberangi Sungai Golok dekat sini pada Selasa.
Menerusi kenyataan oleh Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) memaklumkan kejadian berlaku di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).
Menurutnya, anggota TDM yang sedang menjalankan tugas rondaan telah mengesan empat orang awam dalam keadaan yang mencurigakan sedang berjalan kaki di tebing Sungai Golok di sebelah Malaysia pada jam 10.30 malam.
Menurutnya lagi, keempat-empat mereka cuba melarikan diri setelah menyedari kehadiran pasukan keselamatan namun berjaya ditahan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka merupakan PATI warganegara Myanmar yang terdiri daripada tiga orang lelaki dewasa dan seorang wanita berumur dalam lingkungan antara 25 hingga 73 tahun.
“Hasil soal siasat yang dilakukan, mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri cuba menyeberangi Sungai Golok untuk memasuki negara Thailand secara tidak sah,”katanya.
“Kesemua PATI telah menyatakan menetap di Malaysia secara tidak sah selama 5 hingga 9 tahun dan telah menggunakan khidmat tekong warganegara Thailand untuk kembali semula ke Myanmar dengan sejumlah bayaran tertentu.
“Barangan peribadi yang ditemui bersama PATI dianggarkan sebanyak RM 16,072.94 dan kesemua mereka telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya, ”katanya lagi.
“TDM akan memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan PATI.
“TDM juga akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti Jenayah Rentas Sempadan, ”tegasnya. – SUARA.TV