KUALA LUMPUR, 10 Mac 2026 – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, pelakon dan penyanyi Diana Danielle tampil dengan pendekatan berbeza menerusi kolaborasi bersama rapper Francis Roman dalam single raya terbaharu berjudul Raya Macam Mana?.
Lagu tersebut hadir dengan rentak ceria dan moden, sekali gus memberi kelainan dalam deretan lagu raya tempatan yang lazimnya lebih bernuansa klasik dan nostalgia.
Menariknya, konsep lagu ini disampaikan dalam bentuk dialog santai apabila Francis mengajukan persoalan mengenai sambutan raya, manakala Diana menjawab dengan menerangkan tradisi perayaan tersebut.
Menurut Diana, penggambaran video muzik lagu itu menjadi pengalaman yang agak berbeza buat dirinya kerana melibatkan banyak lokasi sehingga terasa seperti menjalani penggambaran filem.

“Saya dah lama tak masuk set untuk muzik video. Bila shoot yang ini, rasa macam shoot filem sebab lokasi dia banyak dan produksi pun agak besar,” katanya.
Dalam masa sama, Diana turut berkongsi bahawa antara cabaran terbesar yang perlu dihadapinya adalah menyanyikan lirik dalam bahasa Mandarin. Walaupun sudah mempelajari bahasa itu selama beberapa tahun, dia mengakui ia tetap memerlukan usaha yang tinggi untuk memastikan sebutannya tepat.
Namun bagi Diana, pengalaman tersebut memberi kepuasan tersendiri kerana membuka peluang untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam kerjayanya sebagai penyanyi.
Sementara itu, Francis menjelaskan bahawa idea lagu tersebut banyak dipengaruhi oleh pengalaman hidupnya sendiri yang sering bergaul dengan rakan Melayu sejak zaman sekolah dan kolej.
Menurutnya, pengalaman berbuka puasa bersama rakan-rakan, mengikuti mereka ke masjid untuk melihat suasana tarawih serta menikmati moreh membuatkan dia berasa dekat dengan budaya tersebut.

“Dari situ saya rasa sangat connected dengan budaya Melayu. Sebab itu saya banyak buat lagu Melayu dan rap dalam bahasa Melayu,” katanya.
Francis turut menegaskan bahawa elemen Mandarin yang diselitkan dalam lagu tersebut bukan sekadar gimik, sebaliknya bertujuan menggambarkan kepelbagaian budaya yang wujud dalam masyarakat Malaysia.
“Saya harap orang boleh nampak nilai dalam lagu ini. Kita berbeza bangsa dan agama, tapi masih boleh hidup dalam suasana harmoni,” katanya.
Selain mesej perpaduan yang dibawa, lagu ini juga menampilkan segmen rap bertenaga daripada Francis yang memberikan sentuhan kontemporari, sekali gus menjadikannya lebih segar dan dekat dengan generasi muda.
Secara keseluruhannya, “Raya Macam Mana?” bukan sekadar sebuah lagu perayaan, tetapi juga simbol kepada keharmonian masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya, khususnya ketika musim perayaan yang menyatukan ramai orang.



