Muhyiddin, Hamzah, Faizal Azumu dan Salleh Bajuri pemegang amanah akaun Bersatu

KUALA LUMPUR, – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Mohamed Salleh Bajuri merupakan pemegang amanah bagi akaun bank milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perkara itu dinyatakan oleh Pengurus Kewangan CIMB Islamic Bank Cawangan Menara KL Sentral, Lee Hui Nee, 58, ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan pada hari kedua perbicaraan kes Muhyiddin yang berdepan tujuh pertuduhan berkaitan penyalahgunaan kedudukan dan pengubahan wang haram.

Lee memberitahu mahkamah bahawa pada awal pembukaan akaun tersebut, pemohon yang terlibat ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Kamarulzaman Habibur Rahman, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Muhyiddin sendiri.

Namun pada 1 Disember 2020, pemegang akaun itu telah ditukar kepada Muhyiddin, Hamzah, Ahmad Faizal Azumu dan Mohamed Salleh Bajuri, dan akaun berkenaan masih aktif sehingga kini.

Dalam keterangannya, Lee turut memaklumkan bahawa pihak bank telah mengemukakan Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) kepada Bank Negara Malaysia selepas mengesan kemasukan wang dalam jumlah besar ke dalam akaun parti tersebut.

Menurut beliau, sebanyak RM19.3 juta telah dimasukkan ke dalam akaun Bersatu melalui 28 transaksi antara 24 Ogos 2021 hingga 11 November 2022.

Daripada jumlah itu, RM4 juta didepositkan melalui cek oleh ahli perniagaan Datuk Azman Yusoff manakala RM1 juta lagi oleh syarikat Mamfor Sdn Bhd.

Lee menjelaskan bahawa sistem pemantauan bank akan mengeluarkan tanda amaran atau “red flag” sekiranya terdapat transaksi yang besar atau tidak konsisten dengan profil akaun.

“Akaun yang mempunyai transaksi jumlah yang besar dan tidak konsisten dengan profil akaun akan ditanda sebagai ‘red flag’. Pihak cawangan kemudian akan menyemak profil akaun tersebut sebelum mengemukakan laporan STR kepada Bank Negara,” katanya.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan pihak pendakwa bahawa dari tahun 2021 hingga 2022, tiada mana-mana pemegang kuasa akaun Bersatu yang memaklumkan kepada pihak bank untuk menghentikan sebarang kemasukan wang ke dalam akaun tersebut.

Bagaimanapun, Lee berkata pihak bank tidak mempunyai kuasa untuk menghalang kemasukan wang ke dalam akaun pelanggan.

Menjawab soalan peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin, saksi itu berkata pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah memintanya menunjukkan laporan STR berhubung akaun tersebut semasa siasatan dijalankan.

Beliau juga bersetuju bahawa laporan STR itu setakat ini belum dikemukakan sebagai bahan bukti di mahkamah.

Muhyiddin, 78, yang ketika kejadian merupakan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan projek Jana Wibawa daripada beberapa syarikat dan individu bagi pihak parti Bersatu.

Beliau juga berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta yang didakwa dimasukkan ke akaun bank milik parti tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin dijadualkan bersambung esok.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat