Bagi memastikan generasi masa hadapan akan dapat memastikan negara tersebut menjadi peneraju teknologi ini, mata pelajaran AI akan diperkenalkan tahun ini di China
Arahan diberikan oleh Suruhanjaya Pendidikan Perbandaran Beijing kepada semua sekolah di ibu negara China dengan mata pelajaran AI perlu diajar kepada murid-murid sekolah rendah dan menengah bermula September depan.
Sekolah hanya diwajibkan mengajar 8 jam mata pelajaran AI sepanjang tahun akademik dengan ia diintegrasikan ke dalam mata pelajaran sedia ada.
China lebih awal berbanding Malaysia yang hanya akan memperkenalkan subjek yang sama bermula sesi persekolahan 2027, lapor Amanz.
Langkah awal yang dilakukan China ini sebenarnya tidak mengejutkan kerana pelan untuk menjadikan negara mereka kuasa besar AI telah dimulakan lebih sedekad lalu.
Menurut satu laporan yang diterbitkan pada tahun 2024, 47 peratus penyelidik terbaik dalam bidang AI berasal dari China.
Amerika Syarikat di tempat kedua dengan 18 peratus diikuti oleh Eropah (12 peratus), India (5 peratus), Kanada (2 peratus), UK (2 peratus), Korea (2 peratus) dan Rusia (2 peratus).
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sendiri menerbitkan laporan beberapa kerjaya yang terancam disebabkan oleh penggunaan AI dan akan mendatangkan impak besar dalam tempoh masa terdekat.