BAITULMAQDIS – Israel mengarahkan bekalan elektrik di Gaza dipotong serta merta bermula semalam walaupun rundingan baharu gencatan senjata dengan Hamas sedang diadakan.
Tindakan itu dikatakan sebagai antara usaha memberi tekanan kepada Hamas supaya membebaskan tebusan yang masih berada dalam tawanan kumpulan pejuang Palestin itu.
Keputusan itu dibuat selang seminggu selepas Israel menyekat semua bantuan ke Gaza dengan ia dikatakan mengimbau fasa awal perang apabila Israel mengumumkan ‘kepungan’ ke atas wilayah berkenaan.
Menteri Tenaga Israel, Eli Cohen menerusi kenyataan video, mengakui sudah menandatangani arahan segera menghentikan bekalan elektrik ke Semenanjung Gaza.
“Kami akan menggunakan semua platform yang ada untuk membawa pulang tebusan dan memastikan Hamas tidak lagi berada di Gaza selepas peperangan,” lapor AFP.
Fasa awal gencatan senjata berakhir pada 1 Mac lalu, dan kedua-dua pihak mengelak daripada kembali berperang, walaupun berlaku kekerasan bukan berterusan, termasuk serangan udara rejim Zionis, didakwa menyasarkan kumpulan pejuang, semalam.
Hamas sebelum ini, berulang kali meminta rundingan fasa kedua gencatan senjata dimulakan segera bagi mengakhiri peperangan secara kekal.
Susulan kebuntuan itu, Israel bagaimanapun memilih untuk melanjutkan fasa pertama hingga pertengahan April, dan menghentikan bantuan ke Gaza.
Mengulas tindakan itu, Hamas menyifatkan ia sebagai ‘pemerasan’, istilah yang turut digunakan selepas Israel menyekat bantuan ke Gaza.
Ahli biro politik Hamas, Izzat al-Rishq, menyifatkan tindakan Israel sebagai ‘usaha terdesak untuk menekan rakyat Gaza, selain menegaskan taktik pemerasan picisan itu tidak boleh diterima’.
Selang beberapa hari selepas perang meletus pada 7 Oktober 2023, Israel memutuskan bekalan elektrik ke Gaza dan hanya menyambungkannya semula pada pertengahan tahun lalu.
Loji penyahgaraman utama adalah satu-satunya sistem pembekalan elektrik antara Israel dan Gaza dengan penduduk di wilayah itu kini bergantung kepada alternatif, antaranya solar dan generator menggunakan bahan api untuk menghasilkan elektrik.
Ratusan ribu rakyat Palestin di Gaza hidup di dalam khemah, dengan suhu waktu malam kini diramalkan turun sehingga 12 darjah Celsius.
Sementara itu, Hamas dalam kenyataan berkata, wakil kumpulan pejuang itu bertemu pengantara Mesir pada hujung minggu, menekankan keperluan mendesak untuk menyambung semula penghantaran bantuan ‘tanpa sekatan atau syarat’.
Jurucakapnya, Hazem Qassem, menyeru pengantara di Mesir dan Qatar, serta penjamin dalam pentadbiran Amerika Syarikan memastikan pendudukan (Israel) mematuhi perjanjian dan meneruskan fasa kedua mengikut terma dipersetujui.
Katanya, tuntutan utama Hamas bagi fasa kedua adalah pertukaran tebusan dengan tahanan, pengunduran sepenuhnya Israel dari Gaza, gencatan senjata kekal, pembukaan semula lintasan sempadan dan penghapusan sekatan, katanya.