KUALA LUMPUR – “Entah kenapa 1MDB fikir saya ada RM2.6bilion untuk bayar pampasan. Saya tak ada wang untuk bayar tuntutan cukai RM1.7b LHDN, dia ingat saya ada wang untuk bayar RM2.6bilion? kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu malah mengakui tidak mempunyai aset sebanyak US$681 juta seperti dilaporkan.

“Saya tiada aset berjumlah US$681 juta. Yang dimohon oleh saman 1MDB ialah saya tidak boleh memindahkan aset sehingga US$681 juta.

“Sebab itu, mereka nak hadkan pengeluaran dari akaun bank saya termasuk akaun pencen saya ke RM100,000 sebulan.

“Amat jelas bahawa kes saman sivil 1MDB di bawah Menteri Kewangan (yang dilantik Perdana Menteri kelapan) yang melantik firma guaman dimiliki peguam peribadi PM8 ialah untuk membina persepsi bahawa saya ada aset bernilai sehingga US681 juta untuk dibeku.

“Ini palsu. Setelah bertahun-tahun menyiasat, kerajaan amat jelas berapa nilai aset yang saya ada,” jelas Najib di Facebooknya pada Khamis.

Ahli Parlimen Pekan itu mengesyaki gimik-gimik politik ini tercetus kerana musim Pilihan Raya Negeri (PRN).

Kata Najib lagi, firma guaman Messrs Rosli Dahlan Saravana iaitu firma milik peguam peribadi PM8 (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dilantik untuk menjadi guaman 1MDB pada tahun lalu.

Ujar beliau lagi 1MDB ini adalah di bawah kawalan menteri kewangan yang dilantik Muhyiddin,

“1MDB keluarkan saman sivil (bukan jenayah) terhadap saya tahun lepas untuk menuntut ganti rugi sebanyak US$681 juta.

” US$681 juta ini adalah jumlah yang terkenal sebagai RM2.6b yang pernah masuk akaun atas nama saya.

” Di dalam kes jenayah berhubung 1MDB, saya telah didakwa 9 tuduhan atas akta AMLA sebab RM2.6b ini pernah masuk akaun saya dan saya juga didakwa 6 tuduhan sebab RM2.6b ini telah dipulangkan kepada penghantar 4 bulan selepas diterima.

“Walaupun dana dikembalikan sepenuhnya, 1MDB masih mahu saman saya,” ujar Najib.

Menurut beliau lagi, saman sivil ini adalah berdasarkan afidavit seorang pegawai 1MDB sahaja dan sebab ianya saman sivil, ianya tidak melibatkan hukuman penjara tetapi tuntutan ganti rugi sahaja.

Jelas Najib, saman sivil berdasarkan afidavit sahaja juga pernah digunakan atas saya oleh kerajaan dalam kes lucut hak dana dan harta di mana kerajaan kalah kedua-dua kes tersebut.

“Paling menarik ialah semasa 1MDB memohon mahkamah hadkan pengeluaran wang dari akaun saya, syarikat itu telah memberi jaminan (undertaking) kepada pesuruhjaya kehakiman bahawa mereka akan membayar sebarang ganti-rugi kepada saya sekiranya syarikat itu kalah saman sivil ini.

“Ini adalah satu bentuk jaminan kerajaan. Adakah jaminan kerajaan ini telah diluluskan Kabinet? Soal beliau.