KUALA LUMPUR – Datuk Seri Azalina Othman Said memberi amaran kepada mana-mana calon yang akan bertanding dalam pilihan raya supaya tidak memanfaatkan status wakil rakyat untuk mengembangkan perniagaan ataupun berhasrat menjadi jutawan dengan manipulasi jawatan yang dipegang.

Ahli Parlimen Pengerang itu menegaskan tidak sewajarnya calon-calon pilihan raya mengambil kesempatan jadi wakil rakyat untuk membina perniagaan kerana dengan amalan ini akan mengundang kepada aktiviti rasuah.

Hal ini kata Azalina, pengundi memilih seseorang calon itu sebagai ADUN mahupun Ahli Parlimen untuk memperjuangkan nasib mereka, bukan sebaliknya yakni rakyat pula kena bekerja untuk mereka.

“Kalau dia nak jadi wakil rakyat, tak payah wakil rakyat dialah nak berniaga dia nak jadi itu ini semua dia nak. Susahlah sebab sekarang wakil rakyat yang profesional maknanya perkhidmatan dia adalah untuk rakyat, dia bekerja untuk rakyat.

“Jangan pula dia nak rakyat bekerja untuk dia. Lepas tu nak jadi wakil rakyat nak ada berniaga nak dapat keuntungan nak jadi pengarah ini semua yang akan menganggu khidmat dia sebagai wakil rakyat sebab dia tidak akan meletakkan keutamaan kepada perjuangan rakyat,” tegas Azalina.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan ini lah gerakan perubahan reformasi yang mesti digerakkan oleh UMNO, BN yakni memilih wakil-wakil rakyat yang menjadi wakil rakyat profesional.

… yang nak berniaga takyah bertanding jadilah orang berniaga, jadilah jutawan lantaklah.

“Jangan ambil kesempatan kita bagi dia jawatan harapkan pagar pagar makan padi lepastu wujudkan masalah rasuah itu kita tak nak lagi. Kita nak yang mana pengundi yakin yang mana dipilih yang inilah akan berkhidmat,” katanya di Pengerang.

Azalina malah berharap calon yang bakal dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mempunyai personaliti yang memberangsangkan bagi menambat hati pengundi.

“Mereka yang ditawarkan sebagai calon wajar yang boleh menunaikan janji dan melaksanakan yang terbaik untuk pengundi, kita tak nak kita berikan dia undi lepas dah menang dia lari, dia lupa, nak cari dia lompat jadi katak ini semua kita tak nak.

“Kita nak orang yang bekerja. Sama ada orang lama atau orang baru, berpelajaran ke tak berpelajaran saya tak ambil mudah isu itu. Saya sebagai Pengerusi BN Pengerang saya nak tengok yang mana kita pilih keutamaan mesti orang tempatan, sepatutnyalah.

“Kalau tak dapat orang tempatan harapan saya orang yang dapat menunaikan janji dan laksanakan tugas kepada rakyat,” ujar beliau.